Noor Kumalasari dedah pernah tolak tawaran RM100,000 demi pertahan hijab

Noor Kumalasari dedah pernah tolak tawaran RM100,000 demi pertahan hijab

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seniwati Noor Kumalasari mendedahkan pernah menolak tawaran lebih RM100,000 apabila perlu membuka hijab bagi watak dalam sebuah drama bersiri demi mempertahankan prinsip sudah menutup aurat.

Noor, 68, berkata keputusan itu dibuat tanpa teragak-agak meskipun tawaran berkenaan menjanjikan bayaran lumayan pada fasa awal penghijrahannya.

Menurutnya, beliau tidak sanggup menggadaikan pendirian yang dipegang selepas memilih untuk mendekatkan diri kepada Allah, selain yakin rezeki sudah ditentukan oleh-Nya.

“Memang banyak cabaran dan dugaan di awal penghijrahan, malah saya pernah dapat satu tawaran besar bernilai lebih RM100,000 untuk menjayakan sebuah drama bersiri.

“Tetapi saya tolak disebabkan syarat mereka yang meminta saya buka hijab. Saya terus tolak dan beritahu produksi tidak akan buat walau apa sekali pun kerana saya yakin rezeki datang daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu forum Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 di FINAS Hulu Kelang, di sini, semalam.

Program itu turut menampilkan pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, yang berkongsi pengalaman lebih tiga dekad dalam industri seni bersama moderator, Ahmad Fedtri Yahya.

Mengimbas pengalaman berkenaan, penyanyi yang popular menerusi lagu Mata itu berkata, pendiriannya turut menjadi pedoman kepada seorang pelakon wanita muda yang ketika itu baru berhijab dan berdepan dilema sama apabila ditawarkan watak berkenaan.

Menurutnya, pelakon terbabit pernah mendapatkan pandangannya sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima atau menolak tawaran itu.

“Pelakon muda itu ada berjumpa dan bertanyakan pandangan saya. Saya beritahu dia, semuanya terpulang kepada diri sendiri.

“Bagi saya, apabila sudah berhijab dan mendekatkan diri dengan Allah, adakah kita sanggup mengorbankan perkara itu demi wang? Rezeki datang daripada-Nya. Akhirnya, dia juga menolak tawaran itu,” katanya.

Berkongsi detik penghijrahannya, bintang filem Bayangan Maut itu berkata, keputusan untuk berhijab tidak berlaku serta-merta selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji, sebaliknya hadir secara perlahan-lahan hasil doa yang sentiasa dipanjatkan.

Menurutnya, beliau sentiasa memohon agar dikurniakan kekuatan menjadi isteri solehah, menutup aurat dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Mungkin ini berkat doa saya sendiri. Sebenarnya masa balik daripada menunaikan haji pun saya belum bertudung lagi, masih menampakkan rambut.

“Tetapi saya sentiasa berdoa agar dijadikan seorang isteri yang solehah, ingin menutup aurat dan merapatkan diri dengan Allah.

“Segala-galanya berlaku secara tenang dan mengalir begitu sahaja tanpa saya sedar. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya.

Ditanya sama ada masih menyimpan kerinduan untuk kembali beraksi di hadapan kamera, Noor menegaskan keinginan untuk kembali ke dunia lakonan sudah tiada.

Menurutnya, tawaran berlakon masih diterima sehingga kini termasuk untuk menjayakan watak kecil, namun beliau tidak lagi mempunyai keinginan untuk kembali ke set penggambaran.

“Tiada rasa rindu (untuk berlakon). Tawaran itu sebenarnya masih ada sampai sekarang, ada yang tawarkan watak kecil untuk penggambaran dua atau tiga hari sahaja.

“Tetapi kalau hati sudah tertutup, memang langsung tiada lagi keinginan untuk berlakon semula. Bagaimanapun, saya masih menonton drama dan filem-filem lama di televisyen,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top