norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Terima kasih atas doa dan hadiahnya. Halus permainan ini,” ucap pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie yang menerima hadiah set kain kafan diikat reben berwarna merah daripada suaminya, Azfaizul Ahtan sempena hari lahir ke-47, hari ini.
Noorkhiriah yang terkejut dengan hadiah diterima itu, bagaimanapun berasa amat bersyukur dan berlapang dada kerana suaminya tidak lupa mengingatkan mengenai kematian.
“Finally, tahniah sebab dah dekat dengan kematian. Saya menumpang keberkatan hari Jumaat di belakang rumah kekal berbekalkan kain kafan hadiah suami.
“Lain macam 11 April tahun ini (tarikh hari jadi). Terima kasih Allah masih memanjangkan umur yang dah singkat ini untuk buat apa yang patut,” tulisnya pada hantaran kapsyen foto di Instagram.
Ibu tiga cahaya mata itu turut berterima kasih kepada ibunya dan memohon dihalalkan susu yang pernah diminum ketika masih kecil.
“Saya juga tak tahu apa yang Allah nak bagi sebab benda yang dekat dengan kematian (kain kafan) dan saya dapat pada hari lahir 2025.
“Apa yang di tangan itu tak ada poket, tak ada labuci termasuk seutas benang pun tak ada,” katanya lagi.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan pengikut media sosial Noorkhiriah mendoakan dia sentiasa dalam keadaan baik, sihat serta dimurahkan rezeki.
“Tarikh hari jadi kita sama kak. Semoga Allah kuniakan saya kekuatan seperti kak Khiriah,” ucap warganet.
“Selamat hari lahir kakak. Semoga yang baik-baik semuanya untuk kakak,” kata seorang pengguna media sosial.
“Semoga sentiasa dalam kerahmatan, diberi kesihatan yang baik berpanjangan serta umur yang berkah,” ujar wargamaya.
“Sayang kakak kerana Allah. Terima kasih segalanya. Dalam diam banyak mesej baik pada setiap lakonan kakak, teruskan berdakwah cara seni,” komen netizen.
Terdahulu, Noorkhiriah bertemu jodoh dengan Azfaizul pada 2006 dan selama 19 tahun lalu hidup bersama, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Hudhaifah, 15, Muhammad Yusoff, 13, dan Nur, 6.
© New Straits Times Press (M) Bhd