am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Alhamdulillah, selepas dikunjungi pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK), saya berasa sangat lega dan yang paling penting ibu dan ayah tidak perlu risau lagi,” luah Nor Aina Natasha Kamarulzaman, 20.
Semalam, Nor Aina Natasha dikunjungi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Mohammad Ismail dan beberapa kakitangan UMK di kediamannya di Kampung Kolam, Tok Uban di sini.
Mereka menyampaikan sumbangan UMK Cakna (kewangan dan keperluan asas), surat pengecualian yuran dan sebuah komputer riba, kepada Aina Natasha.
Menurut Nor Aina Natasha, sumbangan itu memberikannya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu keluarganya.
“Sebaik kisah saya disiarkan di akhbar dan media sosial, ramai yang memberi kata-kata semangat supaya saya meneruskan impian ke menara gading. Terima kasih kepada pihak Yayasan Raja Shamri (YRS) juga yang dari awal cakna akan nasib saya sekeluarga.
“Bapa saya, Kamarulzaman Mohammad Arifin, 48, gembira walaupun masih dalam kesakitan akibat kemalangan beberapa hari lalu, manakala ibu, Latifah Rahim, 47, tidak dapat menahan sebak kerana akhirnya saya dapat mengejar cita-cita saya.
“Insya-Allah, peluang ini akan saya gunakan sebaiknya supaya dapat mencapai kejayaan seterusnya menjadi contoh kepada adik-adik yang lain,” katanya yang juga anak kelima daripada 12 beradik.
Media sebelum ini melaporkan keterujaan Kamarulzaman melakukan pelbagai kerja rencam bagi menampung perbelanjaan anaknya, Nor Aina Natasha ke universiti, bertukar tragedi apabila terbabit kemalangan sehingga cedera teruk.
Dia turut mengambil upah membersihkan kebun untuk mengumpul wang supaya anaknya dapat melanjutkan pengajian di UMK.
© New Straits Times Press (M) Bhd




