am@hmetro.com.my
Manjung: Bayi lelaki yang meninggal dunia bersama ibunya pada kemalangan di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan, di sini, hari ini, disahkan tercampak keluar daripada kereta sebelum dilanggar kenderaan lain.
Pada kejadian jam 5 pagi itu, Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, dan anaknya, Muhammad Iman Irfan Mohammad Syuqur yang berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Kejadian turut menyebabkan suami Nor Fadhilah iaitu Mohammad Syuqur Ahmad, 24, serta anak sulung mereka, Muhammad Alif Sufi, 3, cedera.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati, Perodua Kelisa dipandu Mohammad Syuqur dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Perodua Kelisa itu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah-tengah jalan mengakibatkan bayi lelaki itu tercampak keluar.
“Sebuah kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti lagi, tidak sempat mengelak lalu terlanggar bayi itu.
“Selepas itu, datang pula sebuah Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun, dia juga tidak sempat mengelak lalu merempuh Perodua Kelisa terbabit,” katanya pada kenyataan, hari ini
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-6375962 atau 05-6899072.
© New Straits Times Press (M) Bhd