Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, berkongsi pandangannya mengenai konsep ‘orang ketiga’ dalam perkahwinan menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian tersebut, Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin memetik penjelasan dari seorang Pensyarah Jabatan Undang-Undang, Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), yang menyatakan bahawa ‘orang ketiga’ tidak semestinya datang daripada kalangan ahli keluarga, sebaliknya boleh melibatkan individu luar yang turut mencampuri urusan rumah tangga.
“Orang ketiga boleh jadi sesiapa sahaja sama ada orang yang dikenali atau tidak.
“Boleh jadi melibatkan ahli keluarga sendiri sama ada ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar duai, sepupu sepapat, anak kandung, anak tiri dan sebagainya.
“Boleh jadi juga bekas kekasih suami atau isteri. Barangkali juga melibatkan kekasih gelap suami atau isteri.
“Mungkin juga melibatkan orang luar seperti jiran, rakan sekerja, alumni sekolah, majikan dan sebagainya,” tulisnya.

Isnin lalu, Nora hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya bagi memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Terdahulu, penyanyi lagu Di Persimpangan Delima itu pernah mengejutkan ramai apabila berkongsi satu video yang menunjukkan suaminya melafazkan cerai sekitar Ogos tahun lalu.
Menurut Nora, lafaz cerai tersebut dibuat atas desakan pihak tertentu, namun begitu, pasangan ini kembali rujuk selepas sebulan.
Untuk rekod, Nora sah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada 3 Disember 2021.




