Nora boleh sarung semula baju ketika usia 20-an

Nora boleh sarung semula baju ketika usia 20-an

Kuala Lumpur : Keputusan penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 52, menjalankan kaedah bariatrik dianggap tepat apabila berjaya menurunkan berat badan 18 kilogram (kg) selepas dua bulan menjalani rawatan itu.

Bukan itu sahaja, indeks jisim tubuh (BMI) juga sudah hampir ke paras normal, malah keputusan ujian darahnya juga semakin baik.

“Penyesalan tidak ada langsung, terutama apabila saya tengok keputusan darah selepas dua bulan menjalani rawatan ini.

“Kolestrol dan hati berlemak semuanya turun dengan cantik. BMI saya juga sudah hampir cantik.

“Saya fikir ini memberi kepuasan sebenar. Jika saya ambil suntikan untuk kurus sekalipun atau menjaga pemakanan, belum tentu berjaya turunkan berat badan sebanyak ini,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu berkata, biarpun belum mencapai berat ideal, dia sudah cukup berpuas hati dengan penurunan berat badannya sekarang.

Lebih-lebih lagi apabila berjaya menyarungkan kembali baju lama yang dipakai pada usia 20-an.

“Berat ideal saya 55kg, tetapi saya tidak terlalu bercita-cita tinggi. Bagi saya, biarlah berat turun perlahan-lahan secara semula jadi.

“Tetapi sekiranya berat badan saya kekal dengan angka sekarang, saya sudah bersyukur.

“Sejak berat badan turun, saya kena beli banyak baju baharu. Baju lama kebanyakan tidak boleh pakai lagi sebab besar. Kalau ada pun, baju ketika zaman muda,” katanya.

Nora berkata, sebelum menjalani rawatan bariatrik, dia menikmati makanan kegemaran sepuas-puasanya. Nora sedar selepas itu dia tidak akan dapat menikmati makanan seperti itu.

Tambahnya, keputusan nekad untuk menjalankan kaedah bariatrik dibuat selepas segala usaha menurunkan berat badan tidak berhasil.

“Saya suka makan, jadi sebelum jalani rawatan, saya makan sepuas-puasanya. Ketika bercuti bersama keluarga menaiki ‘cruise’ saya makan bersungguh-sungguh.

“Sebelum ini, apa jenis kaedah untuk kuruskan badan yang saya tidak buat termasuk jaga makan. Saya pernah ambil dua jenis suntikan untuk turutkan berat badan.

“Satu daripada suntikan itu membuatkan saya tidak boleh bangun. Satu lagi, berkesan turunkan berat badan. Tetapi, saya terfikir, sampai bila saya hendak terus cucuk?” katanya.

Nora berkata, doktor tidak menggalakkan dia mencucuk ubat dikenali sebagai Manjauro itu kerana kesan peningkatan berkali ganda jika pengambilannya dihentikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top