KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish sekali lagi menjadi tumpuan apabila pelakon dan ikon fesyen itu tampil sebagai wajah utama serta peneraju kolaborasi eksklusif Nora Danish x Marii for Amber, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam memperkasa jenama fesyen tempatan.
Koleksi denim eksklusif berkenaan menampilkan rangkaian jeans moden yang mencerminkan personaliti Nora Danish yang anggun, versatil dan sofistikated, selari dengan gaya wanita masa kini.
Direka dengan pelbagai siluet dan potongan kemas, setiap helaian menggabungkan keselesaan serta keanggunan, menjadikannya sesuai digayakan untuk pelbagai suasana, daripada kasual hingga semi formal.
Kolaborasi ini menyatukan sentuhan rekaan Marii yang terkenal dengan perincian halus dan identiti feminin, bersama cita rasa fesyen Nora Danish yang matang dan elegan.
Gabungan itu diterjemahkan dalam koleksi denim yang bukan sahaja praktikal, malah memiliki nilai estetika tinggi.
Bagi Nora, penglibatan dalam projek ini adalah manifestasi sokongan berterusannya terhadap industri kreatif tempatan, selain keinginannya untuk melihat pereka lokal diberi peluang berkembang di platform yang tepat.
“Saya sentiasa percaya dengan potensi jenama tempatan. Kolaborasi ini memberi ruang untuk saya berkongsi idea dan gaya peribadi, di samping menyokong Marii yang diasaskan oleh Farra, rakan baik saya.
“Melihat hasil kerjanya berkembang dan diterima pasaran adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.

Tambah Nora, koleksi denim ini dihasilkan khusus untuk wanita yang menghargai helaian versatil, mudah digayakan dan kekal feminin tanpa mengorbankan keselesaan.
Dalam pada itu, Amber yang diasaskan oleh Datuk Adzliana Datuk Sri Dr. Hasan memainkan peranan penting sebagai platform strategik yang mempertemukan kolaborasi ini.
Komitmen Amber dalam mengangkat jenama tempatan dilihat selari dengan visi Nora Danish untuk melihat fesyen lokal terus berkembang dan berdaya saing.
Menurut Adzliana, kehadiran figura berpengaruh seperti Nora Danish memberi nilai tambah kepada jenama tempatan dan membantu memperluaskan pendedahan koleksi ke pasaran lebih luas.
Marii by Farra pula menampilkan identiti wanita yang anggun, sopan dan berkeyakinan, dengan sentuhan segar yang melengkapkan imej Nora Danish sebagai ikon fesyen moden.
Koleksi Nora Danish x Marii for Amber mensasarkan pengguna kelas pertengahan hingga tinggi yang menghargai rekaan berkualiti, beridentiti dan praktikal, selari dengan kehendak wanita urban masa kini.




