Nora kesal, tidak wajar bergurau

Nora kesal, tidak wajar bergurau

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 51, kesal dan tidak sepatutnya keluarkan kenyataan gurauan seolah seronok kerana suaminya Dr. Rushdi Ramli enggan ceraikannya ketika sebutan pertama kes.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin akui tidak wajar dia tunjukkan reaksi itu apalagi di hadapan media yang sekaligus mencetus pelbagai tanggapan daripada netizen.

“Bila suami tolak permohonan cerai, saya terkejut. Jadi bila ditanya saya secara spontan sebut ‘sayang juga dia pada saya. Saya tahu tidak sepatutnya berkata begitu.

“Itu bukannya perasaan seronok, tetapi kelemahan saya adalah bercakap spontan. Selepas kejadian itu saya bertanya sendiri kenapa bercakap begitu,” katanya.

Penyanyi Di Persimpangan Dilema itu menceritakan dia sudah bersedia dilepaskan suaminya secara baik di hadapan hakim. Dia sendiri meminta agar Rushdi memberikan kerjasama baik sepanjang proses penceraian mereka.

“Sebelum kejadian dia tidak berkata apa-apa, tapi saya cakap elok-elok mahu selesaikan perkara ini secara baik. Saya tidak mahu bergaduh, minta dia datang dan permudahkan urusan. Saya juga sudah minta maaf pada dia.

“Sebelum masuk mahkamah pun perasaan saya sudah 70 peratus bersedia untuk dilafaz cerai. Kita kena bersedia sebab takut pengsan. Jadi saya terkejut dengan keputusan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Nora sudah kembali menjalani rutin harian seperti biasa selain menunggu tarikh 4 Jun sebagai sebutan kedua kes perceraian mereka. Dia enggan terbeban berfikir mengenai kes itu.

“Alhamdulillah, saya kembali macam biasa. Semua okay dan dipermudahkan. Saya tak serabut sebab sudah tahu proses apa akan jadi dan hanya tunggu tarikh mahkamah.

“Terlalu berfikir pun tak guna sebab sudah tahu arahnya. Saya tidak akan menarik balik fail penceraian itu jadi tunggu saja tarikh dan langkah seterusnya,” katanya.

Terdahulu, rumah tangga Nora menjadi sorotan apabila dia membuat permohonan cerai terhadap Dr Rushdi dan kes mereka masih dalam perbicaraan mahkamah.

Untuk rekod, Nora mengumumkan perkahwinannya dengan Rushdi pada 2021.

Kontroversi perkahwinan pasangan ini timbul apabila Nora memuat naik video Rushdi menceraikannya pada Ogos tahun lalu.

Namun selepas sebulan mengumumkan perceraian itu, penyanyi berkenaan memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top