Nora, Mickey Nikah Isnin?

Nora, Mickey Nikah Isnin?

Kuala Lumpur: Jejaka bernama Mickey Ayo yang dikaitkan dengan pelakon jelita Nora Danish seakan-akan memberikan bayangan bakal berkahwin lagi dan tamatkan zaman duda.

Beberapa hantaran sebuah jenama sampin di Instagram menampilkan Mickey yang segak memperagakan baju Melayu putih persis pengantin lelaki.

“Dua kali aku cuba, dua kali juga aku jatuh. Tetapi aku masih percaya, cinta itu tetap wujud,” demikian kapsyennya.

Pada bahagian Instagram Story (IGS) akaun itu juga dimuat naik gambar sekeping kad undangan perkahwinan dengan huruf pangkal M dan N, bertarikh 8 September 2025.

Mickey yang juga perunding kewangan juga ada menulis seakan-akan meluahkan rasa hati mengenai perjalanan cintanya dalam hantaran berasingan.

“Ini bukan kali pertama aku sarung baju nikah, tapi aku harap kali ini jadi yang terakhir. Mungkin kali ini cinta bukan cinta pertama, tetapi biarlah jadi yang terakhir.

“Dua kali janji terputus, tetapi hati ini tidak gentar untuk mencuba sekali lagi. Tidak semua cinta bermula dengan kosong, ada yang bermula dengan luka namun berakhir dengan doa,” katanya.

Kisah mereka jadi sorotan susulan Nora, 43, memuat naik foto bersama seorang lelaki berkopiah bercermin mata, sekali gus menguatkan dakwaan netizen bahawa dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang duda beranak dua.

Meskipun keduanya masih tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai status hubungan mereka namun ramai sudah tidak sabar mendengar berita baik daripada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun ada juga yang beranggapan video terbabit hanyalah sekadar gimik pemasaran jenama sampin berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top