Noraniza anggap Konsert Gema Bumantara detik paling indah dalam kerjaya seninya

Noraniza anggap Konsert Gema Bumantara detik paling indah dalam kerjaya seninya

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris meluahkan rasa terharu sambil menyifatkan peluang membuat kemunculan pada Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai antara detik terindah dalam karier seninya.

Noraniza, 58, atau mesra disapa Kak Ani berkata, jemputan daripada Siti dan pengurusnya, Rozi Abdul Razak untuk beraksi di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi itu memberi makna sangat besar pada dirinya.

Menurutnya, saat menyanyikan lagu ikonik Hati Kama dan Dondang Dendang di hadapan ribuan penonton, segala penat lelah sepanjang sesi latihan terubat dengan sokongan padu yang diterima.

“Pentas sudah sunyi, tetapi kenangan malam tadi masih belum reda dalam hati Kak Ani. Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyambut Hati Kama serta Dondang Dendang dengan penuh kasih.

“Selepas beberapa hari melalui latihan demi latihan, Alhamdulillah, Allah pinjamkan kekuatan untuk Kak Ani menyempurnakan amanah ini.

“Saat berdiri di hadapan anda semua, segala penat terasa begitu berbaloi,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Noraniza turut menyifatkan perkongsian pentas bersama barisan pemuzik dan artis dalam persembahan berkenaan sebagai salah satu lipatan sejarah paling indah sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tanah air.

“Diberi ruang untuk berdiri bersama dan menjadi sebahagian daripada keluarga Gema Bumantara ialah kenangan yang akan Kak Ani simpan sampai bila-bila.

“Selepas Sukan Komanwel 1998, malam tadi menjadi antara detik paling indah dalam lipatan sejarah perjalanan seni Kak Ani. Tahniah Siti, Rozi dan seluruh warga kerja kerana mengangkat muzik tradisional kita dengan begitu megah,” katanya.

Dalam hantaran sama, Noraniza menyuarakan penghargaan mendalam kepada peminat yang tidak pernah berhenti mendoakan dan menyokong perjalanan seninya dari dulu hingga kini.

“Buat semua yang terus mendoakan dan menyokong, mungkin Kak Ani tidak mampu membalas setiap satu, tetapi percayalah, kasih anda semua sampai ke hati.

“Kak Ani sangat menghargai anda semua. Terima kasih kerana terus memberi tempat buat Kak Ani,” katanya.

Konsert Tradisional Gema Bumantara menyaksikan persembahan duet Noraniza bersama Siti Nurhaliza selepas lebih dua dekad tidak berkongsi pentas dan menyanyikan lagu duet mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top