syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “‘Never’ (tidak akan). Insya-Allah, tidak,”.
Demikian komen ringkas penyanyi, Noraniza Idris saat ditanya sama ada dia bersedia untuk menjadi juri pertandingan nyanyian atau tidak.
Noraniza, 56, atau mesra disapa dengan panggilan Kak Ani berkata, dia pernah menerima tawaran menjadi juri, namun menolak kerana tidak mahu menyakitkan hati sesiapa.
“Awal-awal saya cakap, saya tak boleh menjadi juri sebab saya jenis yang tak sampai hati.
“Saya tahu, orang-orang yang menyanyi itu macam mana ‘struggle’ (bergelut) mereka sebab saya juga lahir dari pertandingan. Apa lagi nak menjurikan artis dalam kalangan kawan-kawan.
“Tawaran memang ada, tapi saya tak nak. Saya jenis yang kalau komen, saya tak reti nak simpan. Takut orang tak suka. Tak apalah, bagi orang yang betul-betul layak dan bagus,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Ani, antara artis yang sesuai menyandang gelaran juri pertandingan dan tahu selok belok muzik Irama Malaysia atau Etnik Kreatif adalah Shiha Zikir.
“Ada ramai, antaranya Shiha. Sebab dia ada ‘kuasa’ melawan itu. Dia ada satu semangat juang dan tahu apa dia buat. Dia penyanyi lagu Irama Malaysia yang bagus juga dari segi vokal dan versatil. Semua dia boleh.
“Saya biasa menonton persembahan Shiha sebab dia selalu masuk pertandingan. Memang dia tahu apa yang dia nak di atas pentas. Kalau etnik, dia tahu pembawakannya, ditambah dengan teknologi dan sebagainya,” katanya.
Ani pernah menyertai pertandingan Bintang RTM pada 1983 dan 1985 dan pada 2020, penyanyi yang digelar Ratu Etnik Kreatif itu menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd