najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Noraniza Idris mengakui insiden ditipu penganjur Konsert Malai Solo yang dijadual berlangsung pada Oktober 2022 benar-benar meninggalkan kesan mendalam sehingga menyebabkan dirinya mengalami kemurungan selama tujuh bulan.
Katanya, peristiwa itu bukan sahaja mengecewakan, malah turut memberi kesan terhadap pandangan masyarakat terhadap dirinya, seolah-olah kehadirannya sudah tidak lagi dihargai dalam dunia seni tanah air.
“Cinta saya kepada seni dan budaya terlalu mendalam dan sukar diungkapkan dengan kata-kata. Namun apabila konsert yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan akibat ditipu penganjur, saya mula rasa seperti dipinggirkan oleh komuniti seni sendiri.
“Suasana waktu itu sangat menekan. Saya rasa seolah-olah kebahagiaan saya dirampas. Lebih menyedihkan apabila masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap saya,” katanya.
Noraniza berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana dikurniakan suami Jeffri Hudi yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam karier seninya termasuk individu yang menyelamatkan dia daripada mengambil ubat secara berlebihan kerana terlalu tertekan.
“Dua tahun lalu, ketika saya melalui fasa kemurungan yang teruk, suami saya adalah insan yang paling banyak membantu saya keluar daripada situasi itu.
“Saya masih ingat, dalam keadaan saya menangis dan tanpa sedar mengambil pil secara berlebihan kerana terlalu tertekan, dia datang menenangkan saya dan mengingatkan saya kepada Allah.
“Peristiwa itu masih kekal dalam ingatan saya sampai sekarang. Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang begitu penyayang dan banyak membantu memulihkan keadaan emosi serta perasaan saya,” katanya.
Untuk rekod, Noraniza berkahwin dengan Jeffri, 66, pada September 2011.
Perkahwinan itu adalah yang ketiga Noraniza dan kedua buat Jeffri.
© New Straits Times Press (M) Bhd