Noraniza teruskan misi perkasa warisan negara di peringkat antarabangsa

Noraniza teruskan misi perkasa warisan negara di peringkat antarabangsa

Shah Alam: Program Transcultural Ethnic Rhythms of Malaysia & Asia (TERMA) bukan sekadar nama malah platform jiwa yang menghimpunkan rentak, irama dan gerak tari pelbagai bangsa dari Malaysia hingga seluruh rantau Asia.

Ia menjadi jambatan merentas sempadan, menyatukan seni rakyat dalam satu bahasa sejagat.

Majlis pelancaran Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027 bersama TERMA berlangsung meriah di Galeria SA Sentral, baru-baru ini.

Acara disempurnakan Exco Kebudayaan & Perumahan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah dengan disaksikan oleh Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Program anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia ini dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya selaku rakan strategik rasmi Projek Ikon serta Jom Havoc Event & Management, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan JKKN bersempena Festaria’25.

Nusa Sentral Sdn Bhd, Che Ani Premium dan Akira Touch turut tampil sebagai penaja, manakala Galeria SA Sentral menjadi venue rasmi.

Majlis pelancaran ini menjadikan Selangor sebagai tuan rumah dengan kehadiran penyertaan dari lima negara seperti China, India, Sri Lanka, Thailand dan Indonesia.

Pertandingan persahabatan antarabangsa memperlihatkan keunikan tarian rakyat enam negara, dengan Indonesia dan Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Emas, pasukan China dan Thailand sebagai pemenang Perak, manakala Sri Lanka dan India membawa pulang Gangsa.

Dalam majlis yang sama, Ratu Legenda Irama Malaysia, Noraniza Idris mengumumkan pelancaran rasmi ‘Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027’, yang menampilkan Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik utama dalam setiap program antarabangsa sepanjang tempoh projek.

TERMA 2025 akan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini di Shah Alam, dengan kategori penyertaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa membabit kategori 7 hingga 12 tahun, 13 -17 dan 13 tahun ke atas (Terbuka).

Juara kebangsaan akan mara ke pentas antarabangsa bagi merebut anugerah Platinum, Gold, Silver dan Bronze, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab tarian rakyat rantau Asia.

Sementara itu, bagi memperkasakan kesenian Zapin sebagai salah satu agenda projek ikon, Noraniza turut melancarkan inisiatif “Roots of Zafana”, dengan penubuhan Zapin Living Lab menerusi arkib digital dan fizikal yang mendokumentasikan penulisan serta kajian beliau.

Inisiatif ini direalisasikan melalui kolaborasi akademik bersama ALAF Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan promosi dan pakej khas daripada TH Travel & Services.

Zapin Living Lab membuka peluang kepada generasi pelapis khususnya pelajar untuk menyertai percutian pendidikan zapin.

Setiap bulan, Roots of Zafana akan menjelajah ke negeri-negeri seluruh Malaysia, meninjau keunikan variasi zapin dan dirakam secara eksklusif bersama Noraniza dan co-host Ihab Ismail.

Menurut Noraniza, sebelum ini pencarian budaya diterjemahkan dalam lagu Irama Malaysia namun kini pihaknya mahu melahirkan arkib zapin untuk generasi pelapis.

“Roots of Zafana akan menjadi sumber rujukan warisan yang bertahan lebih 100 tahun akan datang,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan Pra-Dengar single terbaharu di bawah NIPV Management Sdn Bhd iaitu “Bintang Terang”, nyanyian Ihab Ismail dan Azmir Arif, ia hasil karya Aidit Alfian dengan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Persembahan Noraniza, Ihab Ismail dan Azmir Arif turut diiringi oleh 39 penari dari Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) bermula usia 4 tahun hingga 18 tahun.

Pelancaran ini menegaskan komitmen Noraniza Idris sebagai Ikon Kebudayaan Pelancongan Antarabangsa, bersama dukungan Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik rasmi, untuk menjadikan zapin sebagai identiti budaya Malaysia yang bernilai tinggi dan berdaya saing di pentas dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top