Norish Karman Lebih Berdikari, Tak Kisah Berhabis Ribuan Ringgit Demi Watak

Norish Karman Lebih Berdikari, Tak Kisah Berhabis Ribuan Ringgit Demi Watak

‘Ini adalah  pengorbanan kita terutamanya dalam industri di Malaysia memandangkan kita tak ada tajaan yang besar’.

Demikian luahan pelakon versatile, Norish Karman apabila mendedahkan, dia lebih senang berdikari terutamanya dalam menyediakan pakaian sesuai watak termasuklah menyolek wajahnya sebelum hadir ke set penggambaran.

Kata Norish atau nama lengkapnya, Nor’ashikin Karman, 51, sikap itu adalah hasil pengalaman lampau ketika terlibat dalam penggambaran drama rantaian popular, Spa Q.

“Saya makeup sendiri dari zaman dahulu masa berlakon drama Spa Q. Saya selalu datang fully set, tinggal touch up sahaja sebab pernah sekali masa shooting saya pernah melalui saat  dimana penerbit dengan makeup artis bergaduh mengenai isu bayaran.

“Jadi dari situ saya belajar yang saya kena datang siap dengan makeup setiap kali ke set. Just in case kalau ada masalah ke apa semua dah ready,” ulasnya.

Norish berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi drama terbaharunya, Takdir Cinta Terlarang yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Tak kisah berhabis RM3,000 hingga RM4,000 demi wardrobe

Mengulas lanjut, pelakon filem Sayang Salmah ini juga berkongsi, bukan hanya solekan tetapi pakaian yang digunakan untuk setiap watak yang dilakonkannya dalam drama juga disediakannya meskipun mencecah kos sebanyak RM3,000 ke RM4,000.

“Begitu juga dengan baju semua saya bawa sendiri. Saya sediakan semua pakaian saya jadi dari situlah saya serba serbi tahu. Lebih berdikari. Kadang-kadang itu buat orang intimidated tapi sebenarnya ada pengalaman yang mengajar kita begitu.

“Drama ni sahaja sekurang-kurangnya RM3,000 ke RM4,000 juga. Ni pun kita ada lagi dua bulan nak shoot ni.

“Tapi ini pengorbanan kita lah terutamanya dalam industri di Malaysia memandangkan kita ni tak ada tajaan yang besar, jadi saya sediakan pakaian sendiri  dan memudahkan kerja orang lain.

“Lagipun yang keluar dekta televisyen muka aku juga, kalau tak elok nanti kritik kenapa tak lawa, baju tak lawa, tak sebut wardrobe. Jadi, ini lah yang saya belajar untuk uruskan semuanya sendiri,” jelasnya.

‘Comeback’ selepas 6 tahun menyepi

Menyifatkan drama terbaharunya yang bakal disiarkan di slot Akasia ini  sebagai ‘comeback’, Norish bagaimanapun bersyukur kerana masih diberikan watak utama.

“This is comeback selepas enam tahun menyepi. Alhamdulillah, saya dapat kembali berlakon dengan imej berhijab dan masih diberi kepercayaan memegang watak penting meskipun pada usia sekarang.

“Untuk drama Takdir Cinta Terlarang, saya memegang watak seorang peguam dan ahli perniagaan berjaya.

“Dan, selain sibuk berlakon saya juga sibuk dengan kerjaya sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Jadi say anggap perjalanan seni ini satu nikmat yang saya syukuri,” katanya.

Untuk info, drama 28 episod ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti,  Tony Eusoff, Jazmy Juma, Syaza Bae, Julai Marin, Darien Ael dan Manda Ash.

Scroll to Top