Norris dominasi sesi latihan di GP Hungary, Verstappen undang bahaya

Norris dominasi sesi latihan di GP Hungary, Verstappen undang bahaya

Budapest: Pemandu McLaren, Lando Norris mencatatkan masa terpantas dalam kedua-dua sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Hungary pada Jumaat, mengetepikan rakan sepasukannya, Oscar Piastri untuk muncul sebagai pelumba paling pantas.

Pemandu Britain berusia 25 tahun itu yang hanyaketinggalan 16 mata di belakang Piastri dalam perebutan kejuaraan dunia mencatatkan masa 1 minit (m) 15.624 saat (s) dalam sesi kedua yang sengit di Litar Hungaroring.

“Kereta bergerak cukup baik dan sempurna sejak pusingan pertama,” kata Norris.

“Hampir semua pusingan saya rasa jentera bergerak pantas, cuma sesi kedua sedikit huru-hara dengan lebih banyak kesilapan. Tapi itu biasa dalam sesi latihan.

“Saya dah tahu apa yang saya mahu dalam perlumbaan ini. Musim ini jentera lebih baik berbanding musim lalu (ketika saya bermula dari petak utama), jadi peluang sepatutnya lebih cerah, tapi saingan tetap sengit,” katanya.

Charles Leclerc dari pasukan Ferrari mencatat masa ketiga terpantas diikuti pasangan Aston Martin, Lance Stroll dan Fernando Alonso, serta Lewis Hamilton yang juga pemandu jentera Ferrari.

George Russell dari Mercedes meraih tempat ketujuh, di depan pendatang baharu Racing Bulls, Isack Hadjar, pemandu Red Bull Yuki Tsunoda, dan Kimi Antonelli yang mewakili Mercedes.

Namun kejutan terbesar adalah prestasi Max Verstappen yang bergelut sepanjang sesi itu, apabila dia mengadu tentang keseimbangan dan prestasi jentera Red Bull dengan sekadar menamatkan kedudukannya di tangga ke-14.

Lebih malang buat juara dunia empat kali itu, Red Bull turut menerima amaran rasmi selepas Verstappen membuang tuala dari dalam kokpit ketika sedang memandu yang dilihat sebagai berbahaya.

Tuala berkenaan dipercayai tertinggal dalam keretanya selepas pit stop dan boleh mengganggu kawalan pemanduan sekiranya terjatuh ke kawasan pedal.

“Ia cuma tuala muka yang biasa kami guna selepas masuk pit. Ia masih dalam kereta bila saya keluar semula,” jelas Verstappen.

“Daripada biarkan ia mungkin terbang masuk ke bawah kaki saya, saya keluar dari garisan lumba dan buangnya secepat mungkin dengan cara paling selamat. Saya rasa steward pun faham tindakan saya,” kata Verstappen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top