Norris idam lebih banyak saingan sengit dengan Piastri

Norris idam lebih banyak saingan sengit dengan Piastri

Budapest: Lando Norris berkata, beliau teruja menantikan lebih banyak pertarungan sengit dengan rakan sepasukannya, Oscar Piastri selepas kemenangan 1-2 McLaren dalam Grand Prix Hungary, semalam.

Pelumba Britain berusia 25 tahun itu, yang kini hanya ketinggalan sembilan mata di belakang Piastri dalam perebutan kejuaraan dunia, menamatkan perlumbaan hanya 0.698 saat di hadapan rakan sepasukannya untuk memberi kemenangan ke-200 McLaren dalam Formula Satu, dan rekod kemenangan ke-13 mereka di Hungaroring.

“Saya rasa letih sangat!” kata Norris, yang menukar kepada strategi satu hentian selepas permulaan perlumbaan yang kurang baik dan kemudian bertarung hebat untuk mengekang asakan Piastri di pusingan terakhir.

“Ia sangat mencabar, kami sebenarnya tidak merancang untuk satu hentian pada mulanya, tapi selepas pusingan pertama, itu satu-satunya pilihan kami untuk kembali ke perlumbaan.

“Ia sangat sukar di stint terakhir, dengan Oscar semakin hampir. Saya terpaksa memecut sepenuhnya, sebab itu suara saya pun dah hampir hilang!”

Piastri kekal dengan strategi dua hentian dan mempunyai kelebihan tayar, tetapi di litar Hungaroring yang ketat dan teknikal, dia gagal memintas rakan sepasukannya.

“Saya tak sangka ia akan membawa kami kepada kemenangan. Saya jangka mungkin tempat kedua, tapi saya tahu jika saya dapat udara bersih dan menekan sekuat mungkin, saya boleh jadikan ia berhasil dan itulah yang berlaku.

“Ini memang satu pertaruhan, tapi ia juga perlukan pemanduan tanpa kesilapan, pecutan yang baik dan strategi bagus. Semuanya kami lakukan hari ini, jadi saya sangat gembira.”

Dia berkata, kemenangan yang meletakkannya hampir untuk memintas Piastri apabila musim bersambung selepas rehat Ogos, sangat menyeronokkan, tetapi belum memberi kelebihan mutlak.

“Kami sangat rapat bersaing, sukar nak katakan momentum milik siapa, tapi kami berdua berjuang dengan hebat, dan ia sangat menyeronokkan. Ia sukar, tapi perlumbaan dengan Oscar memang menyeronokkan.

“Dan ia sangat hebat buat pasukan – satu lagi kemenangan 1-2, dan kemenangan ke-200 McLaren dalam Formula Satu. Kredit buat Oscar, dia beri cabaran sengit dan saya berjaya pertahankan kedudukan. Saya harap ada banyak lagi perlumbaan seperti ini.”

Piastri, yang kekal dalam jarak satu saat daripada Norris, berkata: “Saya sudah tekan sehabis mungkin. Bila saya nampak Lando guna strategi satu hentian, saya tahu saya perlu pintas di litar dan itu bukan sesuatu yang mudah di sini.

“Saya cuba beberapa cara, tapi memang ini satu pertaruhan dan malangnya, kami berada di sisi yang kurang menguntungkan.”

Keputusan semalam merupakan kemenangan 1-2 keempat berturut-turut buat McLaren dan kemenangan kelima musim ini buat Norris, serta kemenangan kesembilan sepanjang kariernya.

McLaren kini mendahului Ferrari dengan 299 mata dalam kejuaraan pengeluar menjelang baki 10 perlumbaan terakhir musim ini, yang akan bersambung dengan Grand Prix Belanda pada 31 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top