Norris sedia harungi musim baharu F1

Norris sedia harungi musim baharu F1

London: Juara dunia Formula Satu (F1), Lando Norris mengakui masih belum menonton semula perlumbaan yang memastikan gelaran kejuaraan dimenanginya, namun pemandu McLaren itu bakal memulakan musim baharu dengan keyakinan lebih tinggi dan keazaman memburu kejuaraan kedua berturut-turut.

Pelumba Britain berusia 26 tahun itu buat pertama kali berlumba menggunakan nombor satu di jentera pada Grand Prix Australia di Melbourne, 8 Mac depan.

“Itu memang sasaran utama, ya,” kata Norris apabila ditanya mengenai peluang mempertahankan kejuaraan dan menyertai legenda Britain, Lewis Hamilton, sebagai satu-satunya pelumba negara itu yang pernah muncul juara berturut-turut.

“Sudah tentu memenangi satu kejuaraan memberi anda keyakinan yang jauh lebih besar,” katanya ketika menerima dua trofi pada Anugerah Autosport di London, Rabu lalu termasuk satu yang disampaikan juara dunia tiga kali, Jackie Stewart.

“Saya bukanlah seorang yang paling yakin dengan diri sendiri,” tambahnya sambil disambut sorakan penyokong yang melaungkan ‘you should’.

“Namun sekarang, saya memang jauh lebih yakin.”

Norris memenangi tujuh perlumbaan musim lalu, satu kurang daripada juara empat kali dunia Red Bull, Max Verstappen, namun menewaskan pelumba Belanda itu dengan kelebihan dua mata selepas pertarungan tiga penjuru hingga ke perlumbaan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi.

Ditanya sama ada sudah menonton kembali detik yang mengubah hidupnya itu, Norris menjawab sebaliknya.

“Sejujurnya saya cuba menjauhkan diri daripada semua itu,” katanya.

“Saya mahu menikmati kehidupan. Saya cintakan Formula Satu, tetapi saya juga suka berjauhan daripadanya.

“Saya sangat bertuah. Ini pekerjaan yang luar biasa. Saya dibayar dengan baik, dapat mengembara bersama rakan-rakan, bermain golf di tempat-tempat indah. Saya suka melakukan perkara lain juga.”

Juara dunia itu akan kembali menguji jentera minggu depan dalam ujian tertutup di Barcelona sebelum pasukan bergerak ke Bahrain untuk sesi ujian seterusnya pada Februari.

“Ia tahun yang sangat berbeza. Banyak perkara perlu difikirkan dan disiapkan. Kerja simulator sudah bermula sejak seminggu lalu,” katanya kepada Reuters Television.

“Anda hadapi setiap musim sebagai musim baharu dan bersedia sebaik mungkin. Sudah tentu ia akan terasa berbeza, terutama apabila saya masuk ke dalam kereta dan melihat nombor satu di bahagian hadapan. Itu pasti membuatkan saya tersenyum lagi.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top