
Gaya sambutan gol ikonik Haaland selepas menjaringkan gol buat Norway dalam aksi pembukaan Piala Dunia menentang Iraq. Foto: Agensi
NORWAY membuka kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Iraq 4-1 dalam aksi Kumpulan I di Stadium Boston pada Rabu.
Lebih manis, ia merupakan penampilan pertama Norway di pentas Piala Dunia sejak edisi 1998, sekali gus menambah makna kepada kemenangan sulung mereka di kejohanan kali ini.
Perlawanan berlangsung sengit pada babak pertama apabila Iraq memberi tentangan sebelum Norway membuka jaringan menerusi Erling Haaland pada minit ke-29.
Iraq kembali menghidupkan perlawanan apabila Aymen Hussein menyamakan kedudukan pada minit ke-39, namun Haaland kembali meletakkan Norway di depan menerusi gol keduanya pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua, Norway terus menguasai permainan sebelum Leo Ostigard menambah gol ketiga pada minit ke-76.
Drama berlaku pada masa tambahan apabila Iraq dihukum malang apabila Aymen Hussein tertampan bola ke gawang sendiri pada minit akhir, sekali gus melengkapkan kemenangan 4-1 buat Norway.
Kemenangan itu meletakkan Norway dalam kedudukan positif untuk mengharungi baki saingan kumpulan, manakala Iraq perlu segera memperbaiki kelemahan jika mahu terus bersaing ke pusingan seterusnya.



