LONDON: Norwich City dinaikkan ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan tanpa perlu beraksi apabila dua pesaing terdekat, Swansea City dan Brentford masing-masing mencatat keputusan seri dalam aksi Kejuaraan Inggeris, hari ini.
Skuad bimbingan Daniel Farke menguasai saingan divisyen kedua itu menerusi 27 kemenangan daripada 41 perlawanan setakat ini, untuk kembali semula ke EPL dalam tempoh singkat selepas tersingkir pada musim lalu.
The Canaries mengesahkan kembali ke saingan utama EPL selepas Swansea yang menduduki tangga ketiga Kejuaraan Inggeris ketika ini diikat 2-2 pasukan tercorot, Wycombe manakala Brentford menghuni tangga keempat, mencatat keputusan 0-0 menentang Milwall.
Norwich ketika ini berkelebihan 14 mata ke atas Swansea yang berbaki empat perlawanan manakala 16 mata ke atas Brentford, yang memiliki baki lima aksi.
Skuad The Canaries turut berkelebihan lapan mata ke atas pasukan di tangga kedua, Watford yang tewas 0-1 kepada Luton, hari ini.
Keputusan –
Brentford 0 Millwall 0
Luton 1 Watford 0
Middlesbrough 1 QPR 2
Nottingham Forest 0 Huddersfield 2
Sheffield Wednesday 1 Bristol City 1
Stoke 0 Preston 0
Swansea 2 Wycombe 2
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd