Nostalgia rock lebih hangat dan bertenaga

Nostalgia rock lebih hangat dan bertenaga

syafil.syazwan@hmetro.com.my

KONSERT Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL yang berlangsung pada malam Jumaat lalu menjadi bukti kukuh bahawa nama Barbarik terus kukuh dalam landskap muzik rock tempatan.

Lebih 2,500 peminat membanjiri ruang dalam Odeon KL sejak awal petang, selain ratusan lagi yang gagal mendapatkan akses untuk masuk berikutan lokasi acara sudah sesak dengan peminat rock.

Situasi itu menjadi petunjuk bahawa Barbarik yang dianggotai Jo Branko (gitar), Muss (vokal), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) memiliki tarikan besar serta sokongan padu daripada peminat setia.

Kehangatan malam itu disokong oleh persembahan bertenaga apabila Barbarik mempersembahkan 16 lagu yang membentuk identiti serta perjalanan seni mereka sepanjang lebih dua jam konsert berlangsung.

Antaranya termasuk Peluru Cokelat, Hidup Sederhana, 18,000 Sayap dan beberapa karya lain yang sudah sebati dalam memori peminat rock tanah air.

Setiap lagu disampaikan dengan disiplin tinggi tanpa kompromi terhadap mutu bunyi dan susunan persembahan.

Muss ketika berada di pentas menyifatkan sokongan peminat sebagai nadi utama yang menghidupkan perjalanan seni Barbarik sehingga hari ini.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni Barbarik. Lokasi Odeon menjadi tempat penuh nostalgia buat kami dan kalian yang pernah mencipta memori di sini,” katanya.

Ucapan itu menerima sorakan gemuruh, memperlihatkan hubungan dua hala yang utuh antara kumpulan berkenaan dan peminat yang membesar bersama muzik mereka.

Jo Branko pula mengambil kesempatan mengimbau kembali sejarah panjang persahabatan dan kolaborasinya bersama Muss.

“Pada 25 tahun lalu, pada 1998, kami rakamkan album Double Trouble 2 bersama dengan sahabat saya, Muss.

“Selepas 25 tahun, kami kembali sebentar sempena malam ini dan detik ini demi kalian semua yang sentiasa menyokong Barbarik. Ingin saya beritahu di sini, ini semua aturan Tuhan, bukan saya,” katanya.

Konsert ini turut diperkaya dengan elemen kejutan apabila Barbarik membawa naik ke pentas bekas anggota Wings iaitu Jojet, Eddie, Black dan Mel dalam beberapa segmen khas.

Kehadiran mereka disambut sorakan luar biasa daripada peminat yang memenuhi segenap ruang Odeon KL.

Hubungan akrab antara anggota Barbarik dan bekas anggota Wings bukan sesuatu yang asing. Ia sudah lama terjalin sejak era kegemilangan Wings pada 1990-an.

Malah, mereka pernah bersama-sama menghasilkan album studio ke-11 Wings berjudul Mr Barbarik yang diterbitkan pada 2000 ketika Muss memegang peranan sebagai penyanyi utama Wings.

Album itu menjadi salah satu penanda aras penting dalam perjalanan kumpulan legenda itu.

Untuk rekod, Muss menyertai Wings pada 1996 menggantikan Mel yang meninggalkan kumpulan berkenaan pada 1995.

Sepanjang tempohnya bersama Wings, Muss merakamkan empat album iaitu Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul, Mr Barbarik dan Double Trouble 2 yang dirakam bersama Search, serta album raya Puisi Aidilfitri.

Walaupun suhu panas dan suasana berbahang menyelubungi ruang Odeon KL, keadaan itu langsung tidak menghalang peminat untuk terus bertenaga hingga ke akhir persembahan.

Mereka setia berdiri, menyanyi dan mengangkat tangan sepanjang konsert berlangsung. Kualiti sistem bunyi yang padu, susunan lagu seimbang serta kawalan pentas yang mantap menjadikan keseluruhan persembahan terasa padat dan memuaskan.

Lebih signifikan, Barbarik mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai artis pertama mengadakan konsert di Odeon KL selepas lokasi itu dibuka semula dan menjalani transformasi daripada sebuah pawagam lama kepada ruang acara berskala besar.

Kepercayaan itu dibalas dengan persembahan yang meyakinkan, sekali gus menetapkan penanda aras awal buat lokasi baharu itu.

Terdahulu, Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd selaku penganjur, Mozylir Mokhtaruddin berkata, pihaknya tertarik untuk menjemput Barbarik selepas menyaksikan aksi bertenaga mereka di Zepp Kuala Lumpur.

“Pihak penganjur tertarik untuk menjemput Barbarik sebagai artis pertama tampil membuat persembahan di Odeon KL selepas melihat aksi hebat mereka di Zepp KL.

“Selepas melihat sambutan peminat sehingga kesemua tiket habis terjual, kami berharap agar kolaborasi ini akan dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top