syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Simpan dalam hati tangisan sedih melihat abang,” luah penyanyi, Nourul Depp mengenai keadaan terkini abangnya, Mohamad Rizal Ab Wahab yang sedang berjuang melawan kanser darah.
Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkongsi perkembangan positif itu menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, hari ini.
Menurut penyanyi lagu Kerana Terluka itu, dia meluahkan rasa syukur tidak terhingga apabila tahap sel darah putih abangnya menunjukkan penurunan yang ketara berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah daripada 200 sel darah putih, turun kepada 55 hari ini. Masya-Allah Tabarakallah. Syukur,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Nourul turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk ahli keluarga dan peminat yang tidak putus-putus menitipkan doa buat kesembuhan abangnya.
“Terima kasih atas doa semua buat abang saya, Mohamad Rizal Ab Wahab. Terima kasih semua seluruh keluarga, kakak, adik, dan semua ipar-duai. Teruskan berdoa,” tulisnya.
Semalam, Nourul berkongsi berita hiba mengenai keadaan abangnya di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




