sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto kini sedang giat merangka pelbagai rancangan untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu gandingan baharu dalam acara berkenaan.
Jelasnya, beliau melihat Loo Bing Kun antara pemain yang berpotensi untuk menjadi pasangan ketiga beregu campuran negara daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) tetapi dia perlu disatukan dengan gandingan yang betul.
Justeru, Nova melihat pemilihan itu perlu dilakukan dengan lebih terperinci dan mungkin akan mengambil pemain dari beregu wanita untuk digandingkan bersama Bing Kun.
“Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan serta Rexy (Mainaky, Pengarah Kejurulatihan Beregu negara) bahawa saya mahu mencuba mereka semua dan belum ada pemain yang betul-betul akan berpasangan secara tetap.
“Kita mahu mencari beberapa gandingan yang betul-betul konsisten atau sekurang-kurangnya kita dapat menghasilkan satu beregu campuran yang terbaik.
“Untuk berpasangan bersama Bing Kun, Go Pei Kee dan Cheng Su Hui antara calon sesuai. Mereka akan dinilai mengikut kesesuaian tahap kejohanan kerana saya mahu mereka bertanding di peringkat paling kurang Super 100 dan tidak mahu bawah daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai gandingan dia bersama pemain berpengalaman, Toh Ee Wei di Terbuka Taiwan, Nova melihat masih ada beberapa aspek yang perlu diatasi untuk tampil dengan lebih bagus.
“Pengalaman ini sangat bagus untuk Bing Kun. Jadi mereka tahu ini tahap atas macam mana dan mereka tahu ukur diri buat diri sendiri sampai mana. Saya cuma harap mereka menikmati masa bermain dan tidak mengalami tekanan. Itu sudah bagus buat dia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd