NR70's jelmaan 'warga 1970-an'

NR70's jelmaan 'warga 1970-an'

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Lagak gaya enam sahabat bersiar-siar sekitar Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas di sini, dengan berpakaian retro zaman 70-an cukup menggamit nostalgia.

Baju kemeja dengan kolar panjang, seluar potongan ‘bell bottom’ serta kasut platform tebal dan tinggi menjadi identiti khas bagi ‘warga 1970-an’.

Itu antara imej ditonjolkan Muhammad Nur Akbar Abd Rahim, 26; Muhd Faiz Mohd Noor, 30; Muhd Zaini Md Radzi, 31; Mohd Noor Hafiz Abdul Razak, 40; Mohd Mu’az Azmi, 41 dan Abdul Halim Kasim, 58, yang menggelarkan kumpulan itu sebagai Northern Retro 70’s atau NR70’s.

Muhd Faiz berkata, penampilan eksklusif itu menambat hatinya bagi mengumpul koleksi zaman retro sekaligus serta menggayakannya.

Ujar kakitangan awam itu, dia mula mengumpul koleksi retro secara serius sejak lebih tiga tahun lalu.

“Saya berusaha mendapatkannya melalui kedai ‘bundle’ atau pasar karat. Fokus saya adalah pakaian lama, beg serta aksesori termasuk tali pinggang dan cermin mata,” katanya.

Namun begitu, Muhd Faiz berkata, paling sukar diperolehi adalah seluar serta kasut tinggi dan tebal fesyen retro.

“Kasut sebegini sudah tidak dijual di pasaran. Jika ada sekalipun kebanyakannya adalah bersaiz kecil.

“Saya sendiri dapatkan sepasang kasut itu menerusi kenalan berusia yang masih menyimpan kasut mereka ketika zaman kegemilangan retro. Itu pun puas pujuk (kenalan) dan ambil masa berhari-hari sebelum dia bersetuju menjualnya.

“Ada juga antara koleksi yang kami perolehi daripada Thailand dan Indonesia. Harganya juga ‘boleh tahan’ mahal,” katanya.

Ternyata Muhd Faiz tidak berseorangan, apabila bertemu dengan beberapa sahabat sama minat terhadap fesyen era itu menerusi platform TikTok.

“Ada juga kenalan atau individu yang tampil beri barangan koleksi milik mereka secara percuma apabila mengetahui kami mempunyai minat itu.

“NR70’s juga sering diundang ke majlis santai serta kenduri kahwin. Jika ada masa lapang, kami bersama hampir 50 individu lain berpakaian retro berjalan-jalan di sekitar Bagan (Butterworth) bagi menjiwai suasana dan gaya yang mengingatkan pada era itu,” katanya. Sementara itu Muhammad Nur Akbar pula berkata, bentuk misai dan jambangnya yang unik sering menjadi perhatian orang ramai malah ada yang menyapanya sebagai ‘Pakcik’ berikutan menyangka dia sudah menghampiri usia emas.

“Saya tidak berkecil hati kerana mereka tidak tahu bahawa ia adalah antara bentuk misai dan jambang pada era 70-an,” katanya yang tinggal di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu Muhd Zaini berkata, mereka sering berkumpul di kedai ‘Kopi Khita’ di kampung berkenaan yang mempunyai hiasan bertemakan retro dan dilengkapi beberapa koleksi.

Katanya, ia bukanlah kedai kopi sebenar kerana pada asalnya ia dibina kira-kira empat tahun lalu untuk jamuan cendol bersama penduduk di kampung itu pada Hari Raya sahaja.

“Kedai ini kemudian menjadi tempat kami bertemu setiap hari Ahad sambil berkongsi koleksi yang dibeli dan ada juga kenalan atau individu tampil memberi koleksi simpanan mereka bagi dipamerkan di dinding kedai ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top