NREB diarah guna dron kesan kebakaran hutan di Sarawak

NREB diarah guna dron kesan kebakaran hutan di Sarawak

mdroji@bh.com.my

Kuching: Cuaca panas dan kering yang melanda Sarawak meningkatkan risiko berlakunya kebakaran terbuka khususnya di kawasan tanah gambut seperti Mukah dan Kuala Baram.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, berikutan itu kerajaan Sarawak mengarahkan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah untuk bersiap siaga dalam menghadapi situasi itu yang berlaku hampir setiap tahun.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, beliau menerima laporan daripada Residen Bahagian Mukah berhubung kebakaran hutan yang berlarutan selama lima hari di kawasan terbabit.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, semakin banyak pula tompok panas dikesan di Sarawak.

“Berikutan itu, kita mengarahkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) untuk memantau menggunakan dron bagi mengesan lokasi kebakaran baharu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Integriti Borneo (BIIS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Uggah berkata, strategi utama kerajaan negeri adalah mengesan asap lebih awal sebelum api marak, terutama di kawasan tanah gambut.

“Kita tidak boleh tunggu sehingga nampak api besar kerana pada masa itu kebakaran sudah meluas.

“Sebab itu kita gunakan dron untuk mengesan asap lebih awal dan bertindak segera,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengurusan sekolah di Sarawak dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar bilik darjah bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada masalah kesihatan susulan keadaan berjerebu dan cuaca panas berterusan.

Beliau berkata, jika ada keperluan untuk menjalankan aktiviti luar kelas membabitkan pelajar, ia boleh dilaksanakan di dalam bangunan bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada situasi yang melanda negeri itu.

“Kalau kegiatan aktiviti di luar memang kita tidak digalakkan dalam keadaan cuaca panas berjerebu.

“Kita juga kena ambil langkah pencegahan dan berwaspada, kerana bacaan jerebu juga tinggi dan dapat hidu bau asap yang kuat semasa cuaca seperti ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Penajaan Pendidikan 2025 PETRONAS di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top