Putrajaya: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti cadangan penubuhan cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang bagi memperkukuh kawalan serta mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kes buangan terjadual dan sisa elektronik (e-waste) di pintu masuk utama negara.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu dicadangkan susulan peningkatan kes penahanan kontena disyaki mengandungi e-waste di pelabuhan berkenaan.
Beliau berkata, penempatan pegawai JAS secara tetap di pelabuhan dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan dan tindakan penahanan terhadap kontena mencurigakan, selain memastikan pengurusan kes dilaksanakan secara lebih cekap dan teratur.
“Langkah ini juga diyakini dapat membantu mengurangkan isu lambakan kontena serta memastikan operasi pelabuhan terus berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, JAS baru-baru ini melaksanakan ‘Ops Bongkar’ dari 3 hingga 9 Mac bagi memeriksa baki 213 kontena yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki mengandungi e-waste di Pelabuhan Klang.
Operasi itu melibatkan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat JAS, JAS Selangor, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta JAS Negeri Sembilan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), JKDM, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati 148 daripada 213 kontena mengandungi buangan terjadual, termasuk 103 kontena disahkan mengandungi e-waste.
Daripada jumlah itu, 24 kontena mengandungi buangan bateri asid plumbum, tiga kontena buangan bateri lithium dan 18 kontena campuran buangan terjadual serta bukan buangan terjadual.
“Sebanyak 65 kontena lagi didapati mengandungi sisa plastik dan skrap logam yang diklasifikasikan sebagai bukan buangan terjadual,” katanya.
Arthur berkata rekod siasatan lanjut menunjukkan kira-kira 90 peratus kontena yang mengandungi buangan terjadual dan e-waste itu berasal dari Amerika Syarikat, manakala selebihnya dari beberapa negara lain termasuk Brazil, Singapura, Sepanyol, Turkiye, China, Thailand, Kanada, United Kingdom, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu.
Beliau berkata, Malaysia menegaskan pendirian tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual, khususnya e-waste, selaras dengan komitmen di bawah Konvensyen Basel yang mewajibkan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar bagi setiap aktiviti rentas sempadan.
“Memandangkan JAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran import bagi bahan tersebut, sebarang e-waste yang dikesan di pelabuhan negara merupakan kemasukan secara haram dan menyalahi undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




