Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan perlu meneliti keperluan dan prosedur yang ditetapkan sebelum membenarkan pemain sepak takraw Negeri Sembilan Antlers, Hafizul Hayazi, menyertai skuad kebangsaan bagi mewakili negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai majikan pihaknya memerlukan penjelasan dan prosedur operasi standard (SOP) yang tepat daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memastikan kebajikan pemain dapat diuruskan dengan baik, selain membolehkan atlet tersebut terus beraksi dalam Liga Sepaktakraw (STL) sehingga tamat.
“Kalau kita lepaskan pemain ini bermain dengan skuad kebangsaan, adakah dia layak beraksi bersama pasukan Antlers Negeri Sembilan? PSM perlu membuat keputusan…jangan apabila pemain menerima kontrak, dia tidak boleh bermain STL, ini pernah berlaku.
“Kita tidak mahu pemain berdepan masalah…lagi satu apabila pemain ini dipinjamkan, gaji itu perlu dibayar oleh yang meminjam. Kita mahu berlaku jujur, SOP yang betul supaya tidak aniaya atlet yang mewakili negara ini, hal ini perlu dijelaskan dulu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




