sukan@hmetro.com.my
Seremban: Sebagai langkah jangka panjang, Negeri Sembilan FC (NSFC) mengesahkan kelab itu memberi fokus bukan sahaja mengembangkan bakat muda tetapi juga membangunkan jurulatih tempatan bertaraf tinggi bagi memperkukuhkan pasukan berkenaan pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, sebagai permulaan kelab berkenaan menghantar jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah bersama tiga pemain muda, untuk menjalani latihan dan percubaan bersama pasukan Liga J3, Gainare Tottori, Jepun, selama sebulan bermula awal bulan ini.
Katanya, sepanjang mengikuti program berkenaan, Norhafiz yang juga bekas pemain Negeri Sembilan akan ditempatkan dalam struktur kejurulatihan pasukan utama Gainare untuk mendalami metodologi latihan profesional Jepun, sistem taktikal serta pengurusan pasukan secara keseluruhan.
“Ini sebagai permulaan. Kita (NSFC) berharap pendedahan yang diperoleh oleh Norhafiz Zamani akan mempersiapkan dirinya untuk memikul tanggungjawab lebih besar bersama kelab pada masa hadapan.
“Program latihan dan percubaan ini mencerminkan komitmen serius NSFC dalam membina struktur kejurulatihan dan pemain pelapis yang mampan serta berdaya saing.
“Sasaran NSFC adalah untuk membina struktur yang kukuh bagi jangka panjang dan memastikan Negeri Sembilan dapat mencipta pencapaian yang lebih tinggi dalam liga profesional tempatan pada masa hadapan,” katanya hari ini.
Selain Norhafiz Zamani, turut mengiringi beliau ke Jepun ialah tiga anak buahnya iaitu Airiel Zafran Mohd Azrul, 20, Aqil Faris Shalahudin, 19, dan Adam Haris Hamizon, 21 tahun.
Faliq berkata, pihaknya berhasrat untuk program berkenaan secara tahunan melalui hubungan baik antara NSFC dengan Gainare Tottori bagi memastikan matlamat yang ditetapkan tercapai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




