sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal meneruskan momentum kemenangan di laman sendiri apabila tewas kepada Sabah FC, 1-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Selepas berjaya membuat kejutan ke atas Sri Pahang FC, di gelanggang sama sebelum ini, kali ini jelas Negeri Sembilan tidak berupaya untuk menyekat kehebatan Sabah, yang tampil lebih kemas mengawal bola.
Meskipun dapat memulakan perlawanan dengan menguji gawang Sabah seawal minit keempat, namun bola percubaan Hein Htet Aung dari dalam kawasan gol itu dapat ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Damien Lim.
Bagaimanapun melalui satu serangan balas pantas, Sabah yang memperoleh sepakan sudut berjaya menggunakan peluang itu dengan baik apabila Saddil Ramdani yang menerima bola dan tidak dikawal, mudah menyepak ke dalam gawang tuan rumah menewaskan Muhamad Aqil Abd Razak, untuk gol pertama Sabah pada minit kelima.
Tersentak dengan jaringan pembukaan oleh pasukan lawan itu, skuad Hobin Jang Hobin cuba meningkat intensiti persembahan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun tidak berupaya melepasi pertahanan dan gawang Sabah, yang dikawal dengan baik gandingan Dominic Tan, Gabriel Wotter dan Daniel Ting.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat saling melakukan serangan ke kawasan kubu lawan masing-masing, namun tiada jaringan gol yang terhasil.
Negeri Sembilan mendapat peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-60 hasil gerakan satu dua antara Thet Aung dengan Jacque Faye dalam kawasan gol Sabah, namun kedua-dua pemain itu mensesiakan peluang apabila gagal mengawal bola dengan baik dan mudah dipatahkan pertahanan pelawat.
Sabah kemudian berjaya melebarkan penguasaan mereka apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-71, menerusi jaringan dari dalam kotak penalti pemain gantian, Joao Pedro.
Berselang 12 minit kemudian Negeri Sembilan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Htet Aung pada minit 82.
Gol itu terhasil daripada sepakan sudut diambil Takumi Sasaki yang kemudian disambut Faye serta disudahkan pula dengan tolakan baik Thet Aung.
Usaha Negeri Sembilan untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan seri dan meraih satu mata tidak kesampaian meskipun terus bekerja keras melancarkan serangan ke kubu Sabah sehingga ke wisel penamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd