sukan@hmetro.com.my
Seremban: Mengambil kira reputasi besar dimiliki Johor Darul Ta[zim (JDT), Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam pertembungan dengan gergasi bola sepak itu pada aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.
Dengan kedudukan skuad Harimau Selatan itu selaku pendahulu carta liga dan belum mengalami sebarang kekalahan dalam 12 perlawanan berbanding Negeri Sembilan berada di dasar liga, diakui sukar untuk skuad Hobin Jang Hobin melakar kejutan walaupun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.
Ini diakui sendiri pemain paling berpengalaman pasukan Negeri Sembilan, Che Rashid Che Halim, yang sedar betapa dia serta rakan-rakan akan berhadapan tugas mencabar dalam mempertahankan reputasi dan gawang pasukan itu.
“Bukan suatu tugas mudah apabila berdepan dengan JDT, jurang antara mereka dengan kami begitu jauh, JDT memiliki barisan pemain hebat dan mereka juga sudah menewaskan hampir semua pasukan dalam liga.
“Begitupun, kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan malam esok dan akan berusaha memberikan persembahan terbaik berpandukan perancangan serta taktikal ketua jurulatih.
“Kami akan cuba memberikan saingan dengan baik dan akan berusaha mempertahankan gawang pasukan daripada bolos. Bola itu bulat, sebarang kemungkinan boleh berlaku,” kata Che Rashid.
Che Rashid antara pemain pertahanan paling berpengalaman dalam skuad bimbingan K Nanthakumar itu dan dia percaya semua rakan-rakannya akan berjuang habis-habisan bagi mendapatkan keputusan yang baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd