NSRC terima lebih 51,000 panggilan penipuan dengan kerugian RM396 juta

NSRC terima lebih 51,000 panggilan penipuan dengan kerugian RM396 juta

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima sebanyak 51,965 panggilan membabitkan kes penipuan dengan jumlah kerugian RM396.85 juta sejak penubuhannya pada Oktober 2022 hingga Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jumlah kerugian itu membabitkan sebanyak 139,774 akaun keldai.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka 19,294 kertas siasatan bagi kesalahan penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM), sejak penubuhan NSRC pada 12 Oktober 2022 sehingga Januari lalu sebanyak 174,410 panggilan diterima.

“Ia merangkumi sebanyak 51,965 panggilan membabitkan laporan kes penipuan,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah proaktif dalam menangani peningkatan kes penipuan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada rakyat.

Pada masa sama, Azalina berkata, bagi tempoh 2022 sehingga 1 Februari lalu, syarikat telekomunikasi mengambil tindakan menyekat hampir 1.5 bilion panggilan yang meragukan.

“Selain itu, sekatan turut dibuat terhadap lebih 1.2 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta (unsolicited SMS), menamatkan perkhidmatan bagi 118,184 talian yang menghantar SMS meragukan, termasuk talian mudah alih dan tetap.

“Syarikat telekomunikasi turut melakukan sekatan akses kepada 8,450 laman palsu atau laman ‘phishing’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top