Nuansa melankolia Keisya

Nuansa melankolia Keisya

mohamadridzuan@hmetro.com.my

HIDUP tanpa cinta serta terpaksa merelakan hidup tanpa seseorang yang dicintai, pastinya sesuatu yang sangat berat.

Bagi mereka yang melalui fasa ini, barangkali single terbaharu Keisya Levronka ini mampu menjadi jawapannya.

Penyanyi berbakat besar yang semakin meningkat ini kembali dengan single baharu berjudul Hidup Tanpamu di bawah syarikat rakaman Universal Music Indonesia.

Hidup Tanpamu adalah salah satu lagu melankolia dari penyanyi berasal Malang, Indonesia ini.

Menerusinya, Keisya bercerita betapa pedihnya menerima kenyataan dan menjalani hidup tanpa adanya orang yang dicintainya selama ini, bahkan berpisah menjadi solusi akhir dari kenyataan pahit itu.

“Jadi, ceritanya berkenaan kenyataan yang sedih kerana tidak dapat mempertahankan kisah cinta bersama kerana memang terlalu sulit untuk dilanjutkan.

“Memang susah menerima kenyataan seperti ini, lantas timbul pertanyaan mampukah hidup tanpa dia, apakah rela hidup tanpa cintanya?” katanya.

Pemenang Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-23 (AIM23) kategori lagu Berbahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara ini bekerjasama dengan dua pemuzik handalan Indonesia, Ramadhan Handy dan Astono Andoko atau yang biasa dikenali sebagai AstaRAN sebagai pencipta lagu Hidup Tanpamu.

Muziknya sendiri masih mengusung warna nuansa pop balada yang manis dengan susunan yang sangat epik nan berirama.

Nuansa melankolia sangat mendominasi single Hidup Tanpamu yang menyesuaikan dengan tema kesedihan dari lagunya.

Suara instrumen piano yang dominan dengan gabungan kualiti serta karakter vokal Keisya yang sangat dinamik membuat lagu ini semakin indah dan terkesan megah serta sedap untuk didengar.

Dengan single ini, Keisya berharap mereka yang mendengar dapat merasai ceritanya dan mampu mendapatkan inspirasi dalam melalui situasi yang sedang dihadapi itu.

“Semoga dapat dinikmati oleh orang ramai. Bagi mereka yang pernah atau sedang melalui cerita lagu itu, moga ia dapat menjadi seperti penguat semangat dan yakin bahawa anda tidak sendirian,” katanya.

Selain dilancarkan dalam bentuk audio dan video lirik, single Hidup Tanpamu juga dapat dinikmati dalam bentuk muzik video yang ditayangkan sejak 16 Disember tahun lalu di saluran YouTube Keisya Levronka.

Klip video itu diarahkan Bobby Adrian Vitra dan Jessy Sylviani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top