NUBE bakal adakan piket terhadap HSBC Bank Malaysia

NUBE bakal adakan piket terhadap HSBC Bank Malaysia

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan mengadakan piket di seluruh Semenanjung bagi membantah sikap tidak adil, tidak profesional dan diskriminasi HSBC Bank Malaysia Berhad membabitkan 300 pertikaian industri.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata piket pertama akan diadakan selama sejam di pekarangan HSBC Cawangan Jalan Bukit Timbalan, Johor Bharu pada Khamis ini bermula jam 1.30 tengah hari.

Beliau berkata, tindakan piket terpaksa diadakan selepas pengurusan bank berkenaan tidak mahu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif (CA).

“Pengurusan HSBC Bank Malaysia enggan menyelesaikan isu dibangkitkan NUBE sejak tiga tahun kebelakangan ini yang mencabuli hak dan kepentingan ahli NUBE dalam kalangan B40 dan M40.

“Antara pertikaian industri dikenal pasti termasuk enggan menghormati undang-undang buruh Malaysia termasuk peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan menghina pekerja beragama Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Solomon berkata, HSBC Bank Malaysia didakwa mendiskriminasi pekerja bank terutama ahli NUBE dan melanggar peruntukan undang-undang buruh bagi mengawal fungsi dan peranan NUBE.

“NUBE tiada pilihan kecuali mengambil tindakan berpiket ini memandangkan bank itu berulang kali enggan berbincang dengan NUBE di pelbagai peringkat mengikut peruntukan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang jelas termaktub dalam CA antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“Pada masa sama, mereka sengaja mengelak daripada berunding untuk mencari penyelesaian ke atas segala aduan dan pertikaian industri yang dibangkitkan,” katanya.

Solomon berkata, tindakan tidak adil dan tidak profesional bank itu membabitkan 300 pertikaian industri ketika pandemik hingga mencabar kesabaran pekerja B40 dan M40.

“Sikap sedemikian juga tidak mencerminkan kedudukannya sebagai sebuah bank bertaraf global,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top