Nubhan hormati Dr Fie sebagai ibu kepada anak-anak

Nubhan hormati Dr Fie sebagai ibu kepada anak-anak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad, 36, akan terus menghormati isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 35, sebagai ibu kepada anak-anaknya.

Menurut Nubhan, dia juga tidak mahu lagi bercerita mengenai kisah kemelut rumah tangganya kerana terlalu banyak spekulasi yang timbul.

“Saya masih hormat dia. Saya akan terus hormat dia sebagai ibu kepada anak-anaknya saya.

“Sekiranya anda melihat apa yang berlaku di media sosial itu, tolonglah tak perlu nak cakap yang bukan-bukan terhadap isteri saya” katanya ditemui baru-baru ini.

Menurut Nubhan, ketika ini dia hanya ingin fokus kepada anak-anaknya dan juga pembabitan sebagai salah seorang peserta Gegar Vaganza (GV).

Katanya lagi, apa yang berlaku ini bukan mudah untuk dihadapi, namun dia bersyukur ada anak-anak dan ibunya sebagai penguat semangat.

Terdahulu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan perceraian untuk dua lafaz cerai dilakukannya dan satu lafaz rujuk terhadap isteri, Dr Afifah di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Pada September lalu pula, Nubhan memfailkan tuntutan hadanah atau hak penjagaan penuh serta interim terhadap tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pasangan Nubhan dan Dr Afifah bernikah pada 29 Ogos 2015. Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6 dan Afzan Nayillle, 3.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top