Nuha Bahrin sasar usia 30 tahun tamatkan zaman bujang

Nuha Bahrin sasar usia 30 tahun tamatkan zaman bujang

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Nuha Bahrin memaklumkan dia mensasarkan usia 30 tahun untuk menamatkan zaman bujangnya.

Nuha atau nama sebenarnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin, 26, berkata, buat masa ini, dia belum terfikir untuk berkahwin kerana mahu memberi fokus pada karier nyanyiannya terlebih dahulu.

Katanya, dia juga tidak berasa tekanan apabila kerap ditanya soal jodoh meskipun ramai rakan seperjuangannya sudah pun berumah tangga.

“Saya juga bersyukur kerana kedua ibu-bapa sangat memahami dan tidak memaksa dalam soal kahwin.

“Tapi makcik saya yang kerap bertanya soal kahwin dan suka mengusik, ‘Nuha bila lagi?

“Saya juga letakkan target nak kahwin pada usia 30 tahun dan masih ada tempoh empat tahun lagi,” katanya ketika ditemui media di sini.

Mengulas lanjut, kata Nuha, sebagai anak perempuan tunggal dari empat beradik, dia juga mahu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga sebelum berumah tangga.

“Hubungan saya dengan emak sangat rapat dan saya melihat pada usia sekarang, saya mahu pergi melancong dulu bersamanya.

“Pada masa sama, saya anggap usia 20-an hanya sekali sahaja dan saya tidak mahu ada anak awal sangat.

“Bagi saya, umur 30-an adalah masa yang memang tepat untuk kita fikir soal anak, keluarga dan bekalan akhirat,” katanya.

Ditanya sama ada keluarganya sangat memilih dalam soal jodoh, kata Nuha yang masih belum memiliki teman istimewa, kedua ibu bapanya sangat santai dalam perkara berkenaan.

“Kedua ibu-bapa saya berasal dari keluarga yang mulanya hidup susah dan selepas itu baru senang dan mereka juga tidak memilih dalam soal jodoh anak-anak.

“Mereka tidak kisah pun asalkan calon suami saya itu memiliki kriteria seperti rajin, baik hati dan menjaga agama,” katanya yang baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Malam-Malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top