Nukilan Raja Zarith sentuh emosi, kongsi sisi peribadi 'Teak'

Nukilan Raja Zarith sentuh emosi, kongsi sisi peribadi 'Teak'

Johor Bahru: Di sebalik gelaran rasmi dan tanggungjawab kenegaraan, seorang ibu tetap menyimpan kenangan paling bermakna, saat menyambut kelahiran anak sulungnya.

Bagi Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, peristiwa menyambut kelahiran Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, 41 tahun lepas kekal segar dalam ingatan, malah dikongsikan dengan penuh kasih dalam satu nukilan istimewa bersempena dengan ulang tahun keputeraan putera sulung Seri Paduka Baginda hari ini.

“Ketika itu 1 Syawal, Hari Raya Puasa. Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim) sedang menziarahi ibu saudaranya dan keluarga mereka apabila baginda dimaklumkan bahawa saya selamat melahirkan Tunku Ismail, putera sulung.

“Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Alhamdulillah,” titah Raja Zarith Sofiah dalam hantaran menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beberapa keping gambar keluarga sewaktu Tunku Mahkota Ismail masih kecil turut dimuat naik bersama hantaran berkenaan.

Antara yang menarik perhatian dalam perkongsian itu ialah Raja Permaisuri Agong berkongsi sisi peribadi sejak kecil Tunku Mahkota Ismail yang sering teruja meminta Seri Paduka Baginda membelikan PlayStation setiap kali versi baharu dijual, dengan permainan video bola sepak FIFA menjadi kegemaran baginda.

Raja Zarith Sofiah tidak menyangka minat itu menjadi kenyataan dalam dunia nyata apabila Tunku Mahkota Ismail kini menggalas peranan sebagai pemilik dan pengurus berpengaruh kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya akan bertanya kepadanya, ‘Ini game (permainan) apa? Apa yang Teak (nama timangan Tunku Mahkota Ismail) perlu buat?’ dan dia akan jawab, ‘Teak mesti pilih pengurus bola sepak dan pilih pemain yang sesuai untuk pasukan Teak’.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan merealisasikan permainan itu dalam kehidupan sebenar!” titah Seri Paduka Baginda.

Minat mendalam terhadap bola sepak itu kini diterjemahkan menerusi pencapaian JDT di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail, yang bukan sahaja mengubah landskap bola sepak Johor, malah meletakkan kelab itu sebagai antara yang terbaik di Asia Tenggara.

Kenangan lain turut dikongsi Raja Zarith Sofiah termasuk detik menyentuh hati ketika menghantar Tunku Mahkota Ismail ke tadika buat kali pertama.

“Dia tidak mahu saya meninggalkannya, jadi saya berdiri di tingkap kelas selama mana saya dibenarkan,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Zarith Sofiah turut menceritakan tempoh mencabar ketika Tunku Mahkota Ismail menjalani latihan ketenteraan di Akademi Tentera India di Dehradun.

“Namun, kami sempat melawatnya dan bertemu keluarga yang menjaga serta menerima dia dengan penuh kasih sayang di rumah dan di hati mereka,” titah Raja Permaisuri Agong.

Pada akhir nukilan, Raja Zarith Sofiah dan Sultan Ibrahim menitipkan doa supaya Tunku Mahkota Ismail terus diberikan kesihatan dan kebahagiaan bersama isteri dan anak-anak, serta dikurniakan kejayaan dan kebijaksanaan untuk mengasihi dan menjaga rakyat Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top