Liverpool: Penyerang Liverpool, Darwin Nunez dilaporkan semakin hampir untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al Hilal, perpindahan yang berkemungkinan membolehkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuat bidaan baharu untuk mendapatkan penyerang Newcastle, Alexander Isak.
Nunez menyertai The Reds tiga tahun lalu dari Benfica dengan nilai awal €75 juta (RM368.9 juta) tetapi gagal menepati jangkaan berdasarkan harga itu.
Penyerang Uruguay itu menjaringkan 40 gol dalam 143 penampilan, namun kedudukannya dalam kesebelasan utama di Anfield semakin terpinggir di bawah kendalian Jurgen Klopp dan kini Arne Slot.
Menurut pakar perpindahan, Fabrizio Romano, Al Hilal bakal membayar jumlah awal €53 juta (RM260.7 juta) bagi mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.
Nunez dijangka lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim ini selepas Liverpool membawa masuk Hugo Ekitike dan Florian Wirtz, sebahagian daripada perbelanjaan besar mencecah €300 juta (RM1.47 bilion) yang turut melibatkan pertahanan, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong.
Bagaimanapun, Liverpool masih berpeluang memecahkan rekod perpindahan Britain dengan mendapatkan Isak, apabila Newcastle dikatakan meletakkan tanda harga setinggi £150 juta (RM845.4 juta) bagi penyerang dari Sweden itu.
Penjualan Nunez akan menyaksikan jumlah hasil perpindahan Liverpool dalam jendela ini hampir mencecah €200 juta (RM984.1 juta) selepas pemergian Luis Diaz, Jarell Quansah, Caoimhin Kelleher, Trent Alexander-Arnold dan Tyler Morton.
Harvey Elliott juga turut menarik minat kelab Bundesliga, RB Leipzig, dengan Liverpool dilaporkan mahukan sekurang-kurangnya €45 juta (RM221.4 juta) untuk pemain tengah England itu.
Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, Nunez akan menjadi nama besar terbaharu menyertai Al Hilal, kelab yang mengejutkan Manchester City untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab baru-baru ini.
Dibimbing bekas pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi, skuad Al Hilal turut dibarisi pemain antarabangsa Portugal, Ruben Neves dan Joao Cancelo; kapten Senegal, Kalidou Koulibaly serta bekas penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic.
© New Straits Times Press (M) Bhd