Nottingham: Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo menegaskan peluang pasukannya untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL) masih terbuka walaupun mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kekalahan kepada Aston Villa dan Everton menyaksikan Forest kini dipintas Newcastle yang melonjak ke tangga ketiga liga, empat mata di belakang Arsenal yang menghuni kedudukan kedua — dengan hanya enam perlawanan berbaki.
Ketika ini hanya lima mata memisahkan Newcastle (59 mata) dengan Villa di tangga ketujuh, manakala Manchester City dan Chelsea turut dalam buruan kelompok lima terbaik yang menjamin tiket ke pentas elit Eropah musim depan.
Forest, yang pernah bergelar juara Eropah dua kali, boleh turun ke tangga keenam menjelang aksi menentang Tottenham Hotspur, Isnin ini.
Namun Nuno yang membawa Forest kekal dalam kelompok empat teratas sejak November lalu, tetap percaya anak buahnya masih berpeluang mencipta sejarah.
“Tiada apa yang berubah sejak minggu lalu — semuanya masih dalam tangan kami,” kata Nuno pada sidang media.
“Kita tidak boleh kawal keputusan pasukan lain. Kita hanya perlu fokus dan terus perbaiki apa yang kurang.
“Cabaran ini bermula sejak kami mula menunjukkan prestasi baik dan mengutip keputusan positif. Kami tidak akan berundur. Kami mahu hadapi cabaran ini dan cuba dapatkan apa yang kami impikan.”
Untuk rekod, kali terakhir Forest beraksi di UCL (dulu dikenali sebagai Piala Eropah) adalah pada musim 1980/81 — ketika mereka turun sebagai juara bertahan dua musim berturut-turut di bawah kendalian legenda, Brian Clough.
Sementara itu, Liverpool kini hanya selangkah untuk menyamai rekod 20 kejuaraan liga milik Manchester United.
© New Straits Times Press (M) Bhd