am@hmetro.com.my
Gerik: Bomba percaya Nur Arina Azizan, 20, yang dikhuatiri lemas di Sungai Air Beruk, Kampung Kerunai di sini, semalam sudah dihanyutkan melepasi muara sungai itu hingga memasuki Sungai Rui.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ia susulan arus deras selain jarak ke muara itu yang bertemu dengan Sungai Rui hanya sekitar dua kilometer (km).
“Berdasarkan arus air semalam (Ahad) dan hari ini, kita percaya mangsa sudah memasuki Sungai Rui, dari situ ada jarak sekitar 16km sebelum bertemu pula dengan Sungai Perak.
“Berkaitan kesukaran SAR, arus air Sungai Air Beruk deras dan jernih, namun di Sungai Rui airnya keruh hingga menjejaskan aspek visual,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba (PKB) lokasi kejadian di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, risiko lain ditempuhi pasukan SAR adalah kawasan air berpusar yang menghalang akses pasukan pencarian dan kemungkinan mangsa terperangkap di situ.
“Kita terpaksa tengok kaedah lain bagaimana cara untuk mengeluarkan masa sekiranya ada di situ (pusaran). Itu juga antara hotspot (titik panas) yang kita cuba hendak akses,” katanya.
Katanya, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini ditangguhkan 6.30 petang tadi dan akan disambung semula 8 pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd