am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Gadis berusia 19 tahun tidak pernah mengeluh walaupun diuji dengan kesusahan hidup sehingga terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pengajian selain terpaksa menjaga bapa yang sakit terlantar.
Nur Asma Adlinazafira Mat Haimi, tidak kekok membantu bapanya Mat Haimi Che Harun, 55, yang baru sahaja kehilangan tangan sebelah kiri sehingga paras siku selain mengalami jangkitan kuman pada kaki kanan yang mana juga mungkin akan dipotong akibat kencing manis kronik.
Lebih memilukan, dia bersama bapanya terpaksa menumpang di rumah ibu saudara, Zaleah Awang Senik, 61, kerana bapanya sudah berpisah secara baik dengan ibunya sejak dua tahun lalu.
“Walaupun ibu dan ayah sudah berpisah namun ayah tidak pernah mengabaikan nafkah untuk kami empat adik beradik, sehinggalah dia jatuh sakit sekitar Mei lalu dan tidak dapat mengambil upah memandu lori.
“Susulan itu, saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) pada September tahun lalu ketika berada di semester satu untuk jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
“Dugaan saya tidak hanya berhenti di situ, apabila sakit ayah semakin teruk pada awal April sehingga terpaksa ditidurkan selama tiga minggu dan kerana berlaku komplikasi pada saraf tangan menyebabkan ia terpaksa dipotong,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu saudaranya di Kampung Banggol Petai di sini, semalam.
Nasib Nur Asma dan bapanya mendapat perhatian wakil Thirdforce daripada Yayasan Raja Shamri (YRS) Tuan Zaimah Raja Omar yang hadir memberikan sumbangan kewangan dan kata-kata semangat buat anak gadis terbabit.
Jelasnya, mereka empat beradik dijaga oleh ibu dan tinggal di Kampung Bukit Gading di Tanah Merah, namun dia mengambil keputusan untuk menjaga bapa sepanjang lebih sebulan berada di wad di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.
“Hanya saya yang boleh menjaga ayah kerana kakak sulung melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah manakala dua adik berusia lapan dan 14 tahun masih lagi bersekolah.
“Ada masanya ibu datang menjenguk kami di sini kerana dia juga bekerja sebagai pembantu kedai dobi untuk menampung kehidupan seharian selepas berpisah dengan ayah.
“Apa yang jadi dalam hidup saya bertimpa-timpa namun saya cuba menghadapi ujian ini dengan tenang selain mahu berbakti kepada ayah selagi dia masih ada,” katanya yang kini meneruskan kehidupan dengan bantuan keluarga dan saudara mara.
Nur Asma meluahkan rasa bimbang kerana buntu mencari wang untuk membeli lampin pakai buang serta susu khas buat bapanya selain tidak mempunyai pengangkutan untuk membawa bapa mendapatkan rawatan susulan.
Tambahnya, dia juga dalam usaha untuk memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan bapanya sudah tidak mampu bekerja dan hilang punca pendapatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd