Nur Nasuha duduki ujian khas MRSM esok

Nur Nasuha duduki ujian khas MRSM esok

am@hmetro.com.my

Bachok: Kisah sedih murid cemerlang yang tidak dapat menjalani ujian kelayakan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana kemiskinan keluarga mendapat perhatian segera daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kisah murid itu mendapat reaksi segera Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memuat naik hantaran mengenai Nur Nasuha Nusi, 12, di laman Facebook (FB) beliau kurang dua jam berita kanak-kanak itu dipaparkan media.

Dalam hantaran itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, pihaknya sudah meminta MRSM Kuala Krai untuk berhubung dengan ibu bapa murid itu dan menguruskan pengangkutan untuk Nur Nasuha menduduki Ujian Kecenderungan MRSM (UKKM).

Beliau berkata, dia sering menyebutkan banyak kali supaya tidak menjadikan kemiskinan atau kekangan kewangan sebagai penghalang untuk menyambung pengajian.

“MARA akan cuba sedaya upaya untuk membantu supaya tiada murid cemerlang yang tercicir.

“Maklumkan terus kepada saya jika ada kes-kes sebegini,” tulisnya.

Asyraf Wajdi turut memaklumkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA akan memberi tarikh baru UKKM kepada calon yang memohon penukaran tarikh ujian atas pelbagai sebab yang akan dimaklumkan pada 23 Oktober ini.

Sementara itu, bapa Nur Nasuha, Mohd Nusi Mamat, 38 ketika dihubungi mengucapkan berterima kasih atas maklum balas segera Asyraf Wajdi dan pihak MARA berkenaan kisah anak keduanya itu.

Katanya, dia sudah dihubungi pihak guru daripada MRSM Kuala Krai petang tadi untuk mengambil anaknya menduduki ujian UKKM, esok.

Katanya, selain tercapai hasrat menduduki ujian untuk ke MRSM, keluarga turut menerima kunjungan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada keluarganya.

“Anak (Nasuha) sangat gembira dengan berita ini dan nampak tak sabar nak menduduki ujian esok, saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan keadaan kami,” katanya.

Terdahulu, kisah Nur Nasuha dari Kampung Lubuk Nibong,Pak Badol yang sedih kerana tercicir menduduki ujian UKKM ke MRSM kerana kemiskinan keluarga selepas bapanya, Nusi disahkan menghidap penyakit gastrik kronik sejak dua tahun lalu.

Keadaan kesihatan bapanya, menyebabkan dia dan empat adik beradik serta ibu, Nurul Izzati Nor, 31 yang sarat mengandung tujuh bulan hidup dalam keadaan daif dengan hanya mempunyai sebuah motosikal serta sering terputus bekalan makanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top