Nur Nilam Ortiz beri bayangan bawa haluan sendiri

Nur Nilam Ortiz beri bayangan bawa haluan sendiri

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon juga usahawan, Nur Nilam Ortiz memberi bayangan hubungannya dengan suami, Azlan Komeng, 50, akan berakhir apabila sepakat membawa haluan hidup masing-masing.

Terdahulu, Nur Nilam membuat perkongsian berhubung ikatan rumah tangga mereka menerusi hantaran dimuatnaik di akaun TikTok miliknya.

“Kami sepakat untuk meneruskan kehidupan di jalan yang berbeza, dengan doa yang baik dan penuh hormat untuk satu sama lain.

“Saya beritahu bukan untuk membuka cerita lama, tetapi kerana suatu hari nanti mungkin kami masing-masing akan bertemu orang lain dan memulakan fasa baru.

“Dia seorang suami yang baik dan ayah yang bertanggungjawab. Banyak perkara indah yang kami lalui bersama. Cuma takdir membawa kami ke arah berbeza.

“Kami tetap komited menjadi ‘co-parenting’ yang baik untuk anak kami tanpa dendam,” jelasnya pada hantaran berkenaan.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan pasangan ini walaupun hantaran dikongsikan oleh Nur Nilam di media sosial itu agak mengejutkan.

Usaha Harian Metro cuba mendapatkan penjelasan pasangan itu, namun Nur Nilam tidak menjawab panggilan serta membalas mesej dikirim, manakala Azlan pula gagal dihubungi.

Difahamkan, pasangan Nur Nilam dan Azlan yang juga seorang pelakon drama dan filem bernikah pada 22 Januari 2022. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dilahirkan September tahun lalu.

Pada 9 April tahun lalu, Nur Nilam menarik perhatian ramai di media sosial apabila hadir ke mahkamah syariah dengan berpakaian serba hitam untuk memfailkan fasakh terhadap Azlan.

Sebelum itu, pada Mac tahun yang sama, Nur Nilam mendedahkan Azlan bakal berkahwin kali kedua dengan seorang wanita yang didakwa menjadi ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, Azlan tampil memaklumkan kemelut rumah tangganya dan Nur Nilam dapat diselesaikan dengan baik pada Julai tahun lalu selepas pertemuan dengan pegawai jabatan agama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top