Nur Suryani hampir pasti ke Tokyo

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR: Malaysia sah diberikan satu slot ‘wild card’ bagi sukan menembak di temasya Sukan Olimpik Tokyo bermula bulan depan, dengan penembak berpengalaman Nur Suryani Mohamed Taibi, hampir pasti dipilih bagi membawa cabaran negara.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM) Hayati Shamsuri berkata, pengesahan slot acara 50m Rifle 3 Position individu wanita tersebut, diterima menerusi email kepada badan induk itu semalam.

Hayati berkata, NSAM telah mengesahkan untuk menghantar atlet bertanding dalam email balas kepada Persekutuan Menembak Antarabangsa (ISSF), dan akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi memuktamadkan mengenai pemilihan atlet.

Jelasnya, berdasarkan situasi semasa, Nur Suryani yang mempamerkan konsistensi dalam prestasinya adalah calon paling tepat, untuk dihantar ke Tokyo.

“Untuk layak bertanding atlet kena lepasi skor minimum kelayakan iaitu bagi acara ini adalah 1,115 dan Nur Suryani yang namanya sudah berada dalam senarai layak, mempunyai purata mata tembakan 1,117. Jadi bagi saya ketika ini beliau paling layak,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Nur Suryani, 38, bakal membuat penampilan keduanya di temasya sukan terbesar dunia itu sekiranya terpilih, selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada Sukan Olimpik 2012 di London, apabila bertanding meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Mempunyai reputasi baik di dalam negara, beliau turut banyak mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai kejayaan diraih di pentas antarabangsa, antaranya merangkul pingat perak dan gangsa Sukan Asia 2014, pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 dan beberapa siri kejayaan dalam penyertaan di Sukan SEA.

“Ia sesuatu yang sangat baik, memang kita (NSAM) menunggu berita ini selepas memohon kepada IFFS sebelum ini. Kerana kita tidak dapat pergi keluar bertanding untuk layak secara merit, jadi slot ‘wild card’ ini kira satu bonus kepada persatuan,” kata Hayati.

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun tempoh untuk melakukan persediaan kini suntuk, namun NSAM sentiasa bersedia untuk mempersiapkan atlet, dan akan berhubung dengan Majlis Olimpik Malaysia bagi mendapatkan pandangan lanjut.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Johnathan Wong yang beraksi dalam acara 10m air pistol individu lelaki, menjadi atlet menembak tunggal negara yang bertanding pada edisi temasya itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd