Nur Syahira pakar selenggara enjin Rolls-Royce

Nur Syahira pakar selenggara enjin Rolls-Royce

suliati@hmetro.com.my

DAHULU, Nur Syahira Sharif mengimpikan untuk bergelar juruterbang, mengemudi pesawat membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain.

Walaupun impian itu tidak tercapai, namun wanita berusia 32 tahun itu tetap gembira dan bangga kerana peranannya di belakang tabir sebagai ‘Engine Test Engineer’ menjadi ‘nadi utama’ yang menjamin kelancaran setiap penerbangan.

Di bawah cahaya lampu terang pusat penyelenggaraan dan di tengah-tengah bau minyak serta logam, anak jati Pulau Pinang ini adalah sosok penting yang memastikan nadi utama pesawat, enjin ‘gergasi’ Rolls-Royce, berfungsi dengan sempurna sebelum menerjah membelah awan biru.

Kejayaan Nur Syahira itu sekali gus membuktikan bahawa bidang penyelenggaraan enjin pesawat, terbuka luas buat wanita.

Kini bertapak di Singapura, Nur Syahira mencatat sejarah peribadi apabila menjadi satu-satunya jurutera enjin wanita di jabatannya yang bertanggungjawab mengendalikan prosedur pengujian enjin Rolls-Royce.

Kerjayanya dalam bidang ini bermula dengan minat yang mendalam terhadap dunia penerbangan sebelum menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

Walaupun cita-cita asalnya menjadi juruterbang, dia akhirnya menemukan kepuasan yang luar biasa dalam bidang teknikal yang menuntut ketepatan ini.

“Tanggungjawab yang saya pikul juga bukan biasa-biasa. Bidang penerbangan amat mencabar dan menuntut tahap disiplin tinggi.

“Bidang ini menarik minat saya kerana setiap tugas membabitkan keselamatan selain memerlukan ketepatan,” katanya.

Sifat kepimpinannya juga sudah terserlah sejak di menara gading apabila menjadi penggerak utama dalam membangunkan kelab ‘Women in Aviation MIAT’ dan memegang mandat sebagai presiden demi memperkasakan penuntut wanita dalam industri aeroangkasa.

Nur Syahira berkata, kehidupan jurutera pesawat menuntut disiplin yang tinggi selain mengikut sistem syif kerana industri penerbangan beroperasi 24 jam.

Menurutnya, tidak kira pagi, petang atau malam, setiap tugasan perlu dilakukan dengan fokus, ketelitian dan disiplin yang sama.

“Setiap hari bermula dengan semakan tugasan, penyediaan dokumentasi, pemeriksaan dan penyelenggaraan, membaiki enjin Rolls-Royce pesawat mengikut piawaian keselamatan yang ketat.

“Saya juga terbabit dalam proses ‘rigging’, ‘derigging’ dan menjalankan ujian enjin untuk memastikan prestasi enjin berada pada tahap optimum sebelum dilepaskan untuk operasi.

“Perkara paling saya dan rakan lain titik beratkan adalah keselamatan, ketepatan dan integriti kerja kerana setiap langkah teknikal memberi impak besar terhadap keselamatan penerbangan,” katanya.

Berada dalam persekitaran kerjaya yang dipelopori lelaki turut memberikan cabaran tersendiri.

Nur Syahira tidak menafikan bahawa pada awalnya pembabitannya, ada mata-mata yang memandang ragu.

Malah kemampuannya pernah menjadi pertikaian hanya kerana dia wanita.

“Untuk membuktikan kebolehan diri, saya bekerja lebih keras untuk membina kepercayaan. Saya juga belajar bahawa dalam bidang teknikal, hasil kerja adalah suara terbaik kita.

“Saya membina keyakinan melalui latihan, pengalaman dan kesediaan untuk terus belajar. Prestasi dan disiplin akhirnya berbicara lebih kuat daripada kata-kata,” katanya.

Bagi menghadapi situasi itu juga, Nur Syahira lebih memilih untuk fokus pada kualiti kerja dan profesionalisme.

Pada akhirnya, konsistensi, ketelitian dan sikap bertanggungjawab membantunya mendapat keyakinan rakan sekerja.

Bagi Nur Syahira, walaupun dia menganggap dirinya masih baru dalam industri ini, banyak pengalaman serta cabaran yang sudah ditempuh.

“Momen paling manis yang dirasai apabila diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menangani tugasan kritikal tanpa dipersoalkan kemampuan.

“Malah pengalaman paling bermakna ialah apabila melihat enjin yang saya selenggara kembali beroperasi dengan sempurna selepas ujian.

“Perasaan itu sukar digambarkan walaupun kerja kami di belakang tabir, impaknya sangat besar terhadap keselamatan penumpang dan kru,” katanya.

Walaupun bidang ini nampak ‘keras’ dan ada wanita yang merasa bidang teknikal ini ‘bukan untuk perempuan’ kata Nur Syahira, itu hanya persepsi.

“Jika ada minat, kesungguhan dan keberanian untuk mencuba, tiada siapa yang boleh menghalang anda.

“Industri ini tidak memerlukan jantina tertentu, tetapi ia memerlukan individu yang berkemahiran, berdedikasi dan berani menghadapi cabaran,” katanya.

Menurutnya, kehadiran wanita dalam bidang yang didominasi lelaki bukan sekadar kerjaya, tetapi juga membuka jalan dan memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.

“Jangan takut untuk melangkah. Setiap usaha dan pencapaian anda bukan sahaja membuktikan kemampuan diri sendiri, tetapi juga menolak batasan sosial dan stereotaip yang lama,” katanya.

Memasuki tahun kelima kerjaya sebagai juruteknik pesawat, Nur Syahira mengimpikan karier yang kukuh.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, saya berharap dapat memperkukuh kepakaran dalam bidang enjin Rolls-Royce dan memegang tanggungjawab lebih besar dalam industri.

“Selain itu, saya berharap dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada lebih ramai wanita bahawa bidang teknikal bukan satu batasan, tetapi peluang luas untuk berkembang, mencipta impak dan membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top