sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Mengintai peluang untuk membarisi skuad Piala Dunia Uzbekistan adalah faktor utama Nurillo Tukhtasinov memilih tidak menyambung kontrak bersama Terengganu FC (TFC).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai yang menghormati keputusan pemain ‘jantung’ skuad Penyu itu.
“Biarpun meletakkan harapan yang tinggi agar pemain kelahiran Uzbekistan itu kekal bersama TFC, lagipun kami sudah menawarkan kontrak lanjutan kepadanya.
“Namun dia memilih untuk pulang ke negaranya bagi memberikan fokus mengintai peluang berada dalam pasukan kebangsaan dalam saingan Piala Dunia tahun depan.
“Jadi pihak kelab menghormati pilihan yang dibuat pemain itu biarpun akui sukar untuk melepaskan pemain yang sudah hampir tiga tahun menyertai TFC, kami harap pemain itu terus cemerlang,” ujar Sheikh Farouk.
Terdahulu pemain berusia 28 tahun yang lebih mesra dipanggil ‘Nurik’ itu enggan menyambung kontrak bersama kelabnya pada tahun depan selepas kontraknya bakal berakhir 31 Disember ini.
Biarpun cuba dipujuk peminat dan barisan kejurulatihan kerana khidmatnya ditagih pasukan, namun dia tetap memilih untuk ‘angkat kaki’ pulang beraksi bersama kelab di negaranya.
Sebelum ini Uzbekistan yang berada di ranking ke-57 dunia mencipta sejarah buat kali pertama layak beraksi di pentas Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung secara bersama di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
© New Straits Times Press (M) Bhd




