am@hmetro.com.my
Nilai: Tiada lagi alasan bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk tidak ke masjid bagi mengejar pahala Ramadan dengan menunaikan solat Tarawih berjemaah, di daerah ini.
Sepanjang Ramadan, Masjid Putra Nilai dekat Bandar Baharu Nilai, di sini, menyediakan pusat asuhan khas untuk anak-anak bermain ketika ibu bapa menunaikan solat Tarawih.
Antara yang disediakan adalah permainan ‘soopa doopa’, aktiviti mewarna, permainan maya serta tayangan rancangan kanak-kanak, dan paling penting semua ini adalah secara percuma.
Imam 1, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata, khidmat itu sebenarnya sudah dimulakan sejak 2023, namun dihentikan pada 2024 kerana dewan yang digunakan menjalani kerja pembaikan.
“Kita tengok kanak-kanak seronok bermain ‘soopa doopa’ ini di acara pesta atau ‘funfair’, jadi apa salahnya kita bawanya ke masjid dan bagi mereka berseronok di sini.
“Bukan sahaja boleh menarik kanak-kanak malah menggalakkan ibu bapanya datang ke masjid dan beribadat dengan tenang tanpa perlu risau memikirkan keselamatan anak mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mohd Yusof yang sudah menjadi imam di masjid itu sejak 2007 berkata, sebelum adanya nurseri berkenaan, keadaan sedikit terganggu dengan kanak-kanak yang bermain ketika solat Tarawih.
“Memang lumrah kanak-kanak, mereka akan bermain jadi kita yang dewasa perlu cari jalan penyelesaiannya. Nurseri ini asalnya adalah sebuah dewan serba guna.
“Ia dijadikan pusat asuhan sepanjang Ramadan sahaja dan biasanya ia digunakan untuk acara kenduri kahwin, seminar dan sebagainya. Ia cukup luas dan selesa, setakat 100 kanak-kanak, memang tiada masalah,” katanya.
Memperincikan ciri keselamatan di pusat asuhan itu, dia berkata, ibu bapa akan mula mendaftarkan anak mereka pada jam 8 malam dan kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun sahaja dibenarkan.
“Kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas kami galakkan dia bersolat bersama ibu bapa, namun ada juga masuk bermain sekali, kami tidak halang. Ibu perlu jemput anak mereka pada 10 malam selepas selesai solat Tarawih.
“Seramai lima atau enam sukarelawan akan bertugas bagi memantau anak-anak ini bermain. Secara keseluruhannya, pihak masjid membelanjakan kira-kira RM7,000 untuk menyediakan pusat asuhan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




