
Nurul Azreena dinobatkan Olahragawati UiTM 2024 dalam Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam pada Rabu. Foto: UiTM
ATLET memanah negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil kini sedang menjalani persiapan rapi bagi menghadapi dua temasya utama, Sukan SEA 2025 di Thailand dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Bagi meningkatkan prestasi dan kesiapsiagaan menjelang kedua-dua kejohanan berprestij itu, Nurul Azreena merancang untuk menyertai beberapa kejohanan antarabangsa dalam masa terdekat.
“Selain kejohanan di luar negara, beberapa sesi latihan intensif juga telah dirancang. Saya yakin semua ini akan membantu saya lebih bersedia menghadapi cabaran di Sukan SEA Thailand tahun ini,” katanya.
Nurul Azreena sebelum ini mencuri tumpuan apabila beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus menambah pengalaman dan keyakinan dalam menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa pada masa depan.
Kecemerlangannya turut mendapat pengiktirafan apabila beliau diumumkan sebagai Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2024, mengetepikan saingan hebat daripada atlet berprestasi tinggi seperti Anis Amira Rosidi (berbasikal), Aleena Ahmad Nawawi dan Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang), serta Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali (petanque).
Sebagai penerima anugerah tersebut, Nurul membawa pulang sijil penghargaan, trofi, piala pusingan serta wang tunai sebanyak RM1,000, yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim, dalam Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM 2024 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam pada Rabu.
Mengenai kehadiran Kim Jae-rak sebagai ketua jurulatih kebangsaan baharu menggantikan Lee Jae-hyung sebelum ini, Nurul menyambut baik kehadiran jurulatih berpengalaman dari Korea Selatan berkenaan.
“Ketua jurulatih baharu ini sebenarnya banyak membantu daripada aspek teknik, peningkatan fizikal dan ketahanan mental,” ujarnya mengenai Jae-rak yang pernah membimbing skuad pelapis elit negara dari tahun 2005 hingga 2011.