Nurul Izzah bakal perkenal program universal, bantu perkasa akar umbi

Nurul Izzah bakal perkenal program universal, bantu perkasa akar umbi

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sebaik dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar bakal memperkenalkan sebuah program universal untuk semua cabang sebagai satu inisiatif menyeluruh memperkasakan jentera akar umbi.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan barisan kepemimpinan tidak kira di pusat mahupun cabang perlu diperkukuh bagi mendepani sebarang cabaran dalam kancah politik akan datang.

Di tengah-tengah ketidaktentuan global susulan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), beliau berpandangan peranan yang dipikulnya ketika ini menjadi lebih kritikal.

Justeru, beliau akan memastikan urus tadbir dalaman berada di landasan kukuh agar Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dapat memberikan tumpuan penuh kepada pentadbiran negara.

“Program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan.

“Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti dari cabang hingga ke pusat dilengkapi dengan kekuatan yang cukup, ilmu, sumber dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dengan kemenangan sebagai orang nombor dua dalam parti dalam pemilihan pusat kelmarin, Nurul Izzah berkata hakikatnya ia bukan waktu bersorak atau bersenang-lenang.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sekarang adalah waktu untuk bekerja dengan lebih keras dan melipatgandakan usaha untuk mengadakan libat urus dan menyantuni akar umbi serta masyarakat sebagai persediaan bertempur lawan sebenar.

“Saya melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah tetapi dengan penuh rasa bertanggungjawab dan sedar bahawa setiap undi adalah amanah dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.

“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak kita satukan. Kalau ada yang renggang kita dekatkan. Bersama kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati untuk rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top