am@hmetro.com.my
Ipoh: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata keputusannya bertanding jawatan itu adalah bagi menyatukan semua anggota parti berkenaan di samping ingin wanita jadi penggerak utama.
Katanya, wanita tidak lagi seharusnya berperanan sebagai penyokong sebaiknya perlu menjadi ‘heroin’ untuk menyatukan hati semua dalam parti itu bagi mendepani pelbagai masalah dan rintangan termasuk perpecahan.
“Kali ini saya ambil keputusan untuk ‘campakkan topi saya ke gelanggang’. Saya hendak pastikan kuasa wanita untuk menyatukan hati semua dalam parti ini. Kita nak satu hati, pastikan jangan kita kesampingkan.
“Anda akan dapati pelajaran dan maklumat terbaik kalau kita sudi mendengar, kerana tiada mana-mana pemimpin yang mampu menyesaikan semua masalah tanpa pasukan yang utuh, kuat, bijak dan berani.
“Maka saya berharap kali ini selaku calon timbalan presiden, termasuk di peringkat negeri, bahawa jangan lupa yang timbalan tak boleh kuat tanpa pasukan dan kita tak boleh kawan tanpa senyuman.
“Jadi sesama kita jagalah persahabatan, tak mahulah kita cari jalan untuk pecahkan segala yang telah sudah bina,” katanya ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah, di sebuah hotel di sini malam tadi.
Lebih 1,000 orang menghadiri majlis itu termasuk pimpinan PKR negeri, ketua-ketua cabang dan pimpinan di peringkat akar umbi.
Perak menjadi destinasi pertama naib presiden PKR itu selepas mengumumkan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden parti bagi sesi 2025-2028.
Pada pemilihan pucuk pimpinan PKR kali ini yang diadakan sempena Kongres PKR 2025 di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini, Nurul Izzah berdepan satu lawan satu dengan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam pada itu, Nurul Izzah menyifatkan pencalonannya itu sebagai satu penghormatan dan amanah besar, terutamanya apabila menerima sokongan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebagai pencadang rasmi.
Beliau turut mengimbau perjalanan ketika mula-mula menyertai politik sekitar 15 tahun lalu dalam suasana serba-serbi kurang, selain menyeru semua ahli PKR agar terus memperkukuh jentera parti menjelang pilihan raya umum yang seterusnya.
“Dalam konteks ini, tahun 2010 sewaktu saya mula bertanding sebagai naib presiden sampailah tahun ini. Itu kali pertama saya bertanding dalam pemilihan parti.
“Sebenarnya itulah cara saya hendak ucapkan terima kasih kerana semasa saya turun, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dalam penjara.
“Saya seorang `introvert’, malu-malu dan takut dengan orang lain. Hendak beritahu bahawa yang kita takut itulah kadang-kadang Allah duga.
“Jadi pada saya parti ketika itu ketandusan, tak ramai yang berani untuk bertanding, dan (ketika itu) saya tak yakin pun akan menang.
“Pemilihan parti kita ini hanyalah langkah kecil saudara-saudari bagi kita hendak perkukuhkan jentera, perkukuhkan parti menjelang pilihan raya umum (PRU) yang seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd