Nurul Izzah cadang kerajaan tubuh jawatankuasa bebas, pantau SPRM secara telus

Nurul Izzah cadang kerajaan tubuh jawatankuasa bebas, pantau SPRM secara telus

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi memantau tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara lebih telus dan berkesan.

Nurul Izzah cadangkan jawatankuasa bebas perlu terus kepada parlimen

Memetik laporan yang disiarkan The Star hari ini, beliau menyatakan jawatankuasa tersebut wajar bertanggungjawab terus kepada Parlimen, memandangkan isu yang melibatkan SPRM disifatkan bersifat sistemik dengan kuasa penyiasatan, pendakwaan dan kewangan tertumpu di bawah satu institusi.

“PKR konsisten membangkitkan kebimbangan ini sejak awal 2000-an. Apabila kuasa sebegini tidak dipantau, risiko salah guna bukanlah sesuatu yang bersifat hipotesis – ia tidak dapat dielakkan.
“Apabila tiada siapa memantau pihak yang membuat pemantauan, kebertanggungjawaban akan terhakis,” katanya.

Pemantauan luar terhadap SPRM sangat terhad

Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa pemantauan luar terhadap SPRM ketika ini amat terhad dan boleh dikatakan tidak berkesan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ketelusan institusi berkenaan.

nurul izzah

Pada Mei tahun lalu, beliau pernah menyuarakan bantahan terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melanjutkan kontrak Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM buat kali ketiga, selain menyatakan komitmen untuk membangkitkan perkara itu secara langsung.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata jawatankuasa pemantau itu perlu diberikan kuasa untuk menyemak tindakan penguatkuasaan termasuk pembekuan aset, audit aliran kewangan serta memastikan siasatan berpandukan bukti dan proses sewajarnya.

“Tindakan mempersoalkan bagaimana kuasa digunakan bukan serangan terhadap institusi penguatkuasaan. Sebaliknya, ia untuk mempertahankan keabsahannya,” katanya.

Artikel lain: Tugas SPRM sita & pulangkan wang rasuah, urus belanja di tangan MOF -Azam Baki

Beliau menegaskan, institusi yang memiliki kuasa besar mesti dipertanggungjawabkan pada tahap tertinggi bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah terus terpelihara.

Sumber: The Star

Scroll to Top