Nurul Izzah wajar dipertimbangkan jadi calon Timbalan Presiden PKR – AMK

Nurul Izzah wajar dipertimbangkan jadi calon Timbalan Presiden PKR – AMK

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung hujung Mei ini dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan ahli parti, malah rakyat Malaysia secara keseluruhan memandangkan PKR adalah parti tunjang yang menerajui kerajaan.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden terus menjadi fokus utama, khususnya antara dua tokoh popular iaitu Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Izuan Kasim, berpandangan bahawa seorang lagi tokoh harus diberi perhatian serius dalam pemilihan kali ini iaitu Nurul Izzah Anwar, yang digelar Puteri Reformasi.

“Daripada awal pergerakan reformasi tanah air, Nurul Izzah menjadi antara pelopor utama dalam perjuangan bagi keadilan untuk semua.

“Berdasarkan merit dan kemampuan memimpin, semestinya Nurul Izzah menjadi jalan tengah antara pertembungan antara pasukan Rafizi dan Saifuddin.

“Ini dapat meredakan pertembungan antara dua tokoh seterusnya merangkul kesemua ahli untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Izuan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara berkata, gabungan tenaga baharu dan lama itu pasti akan menjadi nilai tambah dan membolehkan PKR tetap terus menjadi pilihan malah akan terus memperjuangkan idealisme reformasi.

“Atas dasar itu, saya menyokong penyertaan Nurul Izzah untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top